• Pencontoh Kempen BN Sarawak Akan Digunakan Dalam Operasi PRU14

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pencontoh kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN11) Sarawak akan digunakan sebagai sebahagian daripada struktur operasi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Ahmad Zahid yang juga Timbalan Presiden BN berkata pencontoh kempen pilihan raya Sarawak amat kemas dan pelaksanaannya menyaksikan BN menang besar.

    Beliau berkata kemenangan BN Sarawak di bawah pimpinan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada PRN11 dengan 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kerusi yang dipertandingkan membuktikan pencontoh tersebut berkesan.

    “Ini bukan soal riak dan takbur, jika kita kerja kuat dan bijak, tiada yang mustahil untuk capai kemenangan besar,” katanya pada majlis minum petang bersama wakil media daripada Kuching Division Journalist Association (KDJA) di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri meraikan kunjungan 15 wartawan daripada KDJA pada majlis itu. Hadir sama ialah ketua-ketua biro organisasi media Putrajaya.

    Ketika pihak pembangkang cuba meremehkan keupayaan BN untuk mendapatkan majoriti dua pertiga selepas BN gagal meraihnya pada PRU12 dan PRU13, Ahmad Zahid berkata parti-parti komponen BN sedang berusaha keras dan belajar daripada kejayaan di Sarawak.

    “Dalam hal ini, saya akan membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya pencontoh itu digunakan sebagai sebahagian strategi pada pilihan raya (PRU14),” katanya.

    Ahmad Zahid dalam pada itu turut menyampaikan pesanan kepada pihak pembangkang bahawa golongan pengundi atas pagar menyokong kerajaan yang memerintah.

    Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata penyebaran berita palsu yang berleluasa semasa pilihan raya, perlu ditangani.

    “Keputusan dibuat berdasarkan berita yang keluar dalam semua media, yang akan memberi kesan dan persepsi berbeza kepada pengundi yang membuat pilihan.

    “Kita menghadapi cabaran apabila 82 peratus media bukan tradisional berlawan dengan media konvensional apabila mereka (media bukan konvensional) mempromosi berita palsu atau menganalisis berdasarkan persepsi,” katanya.

    Ahmad Zahid berkata penyebaran berita palsu sangat kritikal khususnya apabila ia digunakan pada saat-saat akhir untuk memburuk-burukkan kerajaan.

    “Apa yang mereka cuba lakukan adalah cuba menafikan sebarang pembangunan, peruntukan dan transformasi yang dilakukan kerajaan, mereka cenderung menafikan semua itu. Oleh itu kita bukan sahaja perlu mempertahan dan mewujudkan anggapan yang baik dan positif , tetapi kita juga perlu mengubah pemikiran pihak berkepentingan (pengundi). Mereka patut membuat keputusan berdasarkan realiti dan bukan berita palsu,” katanya.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pencontoh Kempen BN Sarawak Akan Digunakan Dalam Operasi PRU14 "