• Pencarian Warga Emas Hilang Di Sungai Baleh Berakhir

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+

    KAPIT: Pencarian warga emas yang dilaporkan hilang di sungai sejak Sabtu lalu akhirnya terjawab apabila penemuan mayat mangsa pagi tadi.

    Dalam kejadian yang berlaku Sabtu lalu, menurut laporan anak mangsa yang dikenali sebagai Nur Shafiqa Pelaga Reba, ayahnya Reba Gawing, 63 dilaporkan tidak kembali ke rumah selepas pergi ke sungai untuk mengangkat jaring yang dipasangnya di Kerangan Ara, Sungai Balleh dekat sini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi yang dimulakan sejak dua hari lalu hanya menemukan perahu dan enjin sangkut di tepi sungai.

    “Bagaimanapun, pada hari ini mayat mangsa dilaporkan dijumpai oleh orang awam sekitar jam 9 pagi tadi tidak jauh dari lokasi perahu dan enjinnya telah dijumpai di Kerangan Ara.

    “Sepasukan anggota mencari dan menyelamat (SAR) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi kejadian sejurus laporan penemuan mangsa dimaklumkan.” katanya.

    Mayat mangsa dibawa ke jeti Kapit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Difahamkan, mangsa jatuh di bahagian tebingan sungai namun tidak hanyut kerana kawasan terbabit mempunyai pusaran air. -Sarawakiana
  • No Comment to " Pencarian Warga Emas Hilang Di Sungai Baleh Berakhir "