• Pemimpin Pembangkang Kemboja Saman Laman Facebook

    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+

    SAN FRANCISCO: Bekas pemimpin pembangkang Kemboja mengambil tindakan undang-undang terhadap laman media sosial Facebook.

    Sam Rainsy mengambil tindakan itu bagi membuktikan pemimpin negara itu menggunakan akaun laman sosial milik mereka untuk mengenakan tindakan keras terhadap ahli politik.

    Permohonan yang difailkan di Mahkamah Daerah San Francisco, Amerika Syarikat itu bertujuan memaksa Facebook mendedahkan maklumat akaun Perdana Menteri, Hun Sen.

    Ia termasuk mendesak pengendali laman sosial itu mendedahkan sama ada Hun Sen membeli jutaan 'likes' dan mengeluarkan ancaman bunuh yang melanggar dasar Facebook.

    Hun Sen memerintah Kemboja selama 33 tahun dan tidak berdepan sebarang cabaran daripada pembangkang dalam pilihan raya tahun ini selepas pembubaran parti pembangkang terbesar negara itu, Parti Penyelamat Nasional Kemboja, pada November lalu.

    Pemimpin itu juga dikatakan menggunakan Facebook sebagai alat penting untuk mempengaruhi orang awam.

    Seorang jurucakap Facebook yang dihubungi enggan memberi sebarang komen berhubung tindakan undang-undang itu.

    Malah, mengakui mereka memandang serius terhadap penggunaan akaun palsu dan aktiviti tidak rasmi dalam rangkaian sosial mereka.

    Ketika ini, Rainsy berdepan dengan tindakan jenayah di Kemboja, termasuk dakwaan memfitnah kerana menimbulkan keraguan terhadap 'likes' di laman Facebook milik Hun Sen.

    Analisa sebuah syarikat media, Socialbakers pada 2016 mendapati kebanyakan 'likes' dalam laman web perdana menteri itu datang dari India dan Filipina tetapi ia disangkal pegawai.

    "Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kemudahan Facebook disalahgunakan pengarah autokratik diktator Kemboja, bertujuan untuk mengekalkan kuasa dengan apa juga kos," kata peguam Ram Sainy, Richard Rogers dalam satu kenyataan. - AFP/BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pemimpin Pembangkang Kemboja Saman Laman Facebook "