• Pemimpin Akar Umbi Mampu Sampai Mesej Kepada Rakyat

    Published: Wednesday, 14 February 2018
    A- A+


    BAGAN SERAI – Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yakin program TownHall Jasa Jelajah Akar Umbi menerusi bantuan pemimpin akar umbi mampu memperjelaskan mesej dan hasrat kerajaan, selain merungkai pelbagai persoalan daripada kalangan rakyat.

    Pengarah JASA Perak Abdul Rahim Mohd Nawawi berkata langkah itu perlu kerana pemimpin akar umbi seperti Anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA), guru tabika, ketua kampung dan imam merupakan anggota masyarakat yang rapat dengan rakyat.

    “Kita percaya golongan ini dapat membantu rakyat dengan memberi penjelasan mengenai dasar kerajaan supaya ia lebih mudah difahami,” katanya ketika ditemui selepas program kedua TownHall JASA Jelajah Akir Umbi di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini, malam tadi.

    Menerusi program yang diadakan itu, ramai yang mengemukakan pertanyaan kepada beberapa anggota panel yang bersedia menjawab pelbagai isu termasuklah mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), rasuah, kenaikan harga barang serta media sosial.

    Beliau berkata berdasarkan sambutan khalayak, pihaknya akan meneruskan program yang pertama kali diadakan di Parlimen Parit baru-baru ini itu dari semasa ke semasa.

    Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat berkata program JASA itu amat bertepatan kerana dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, media sosial akan memainkan peranan yang besar dalam menyebarkan pelbagai maklumat daripada kerajaan dan pembangkang.

    Katanya masalah itu perlu ditangani dengan memberikan penjelasan secepat mungkin mengenai sesuatu isu bagi menangkis tohmahan supaya rakyat tidak mudah terkeliru dengan perkara yang ditularkan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pemimpin Akar Umbi Mampu Sampai Mesej Kepada Rakyat "