• Pemilik Kereta Mewah Semenanjung Guna LKM Sabah, Sarawak

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+


    SEREMBAN: Hampir 1,000 kenderaan, terutama kereta mewah dikesan melakukan kesalahan menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) di Sabah dan Sarawak untuk menikmati harga lebih rendah mencecah RM20,000 berbanding di Semenanjung.

    Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata kenderaan berkenaan dikesan dalam Ops Tiris yang dilancarkan 2 Januari lalu, susulan penyitaan kereta mewah milik jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, sehari sebelumnya.

    "Dalam operasi selama 30 hari di seluruh negara itu, kita memberi tumpuan terhadap kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin lebih 2400cc dan hasilnya hampir 1,000 kenderaan didapati menggunakan LKM di luar kawasan pengisytiharan.

    "Kebanyakan LKM yang digunakan adalah dari Sabah dan Sarawak disebabkan bayaran yang dikenakan bagi kedua-dua negeri itu jauh lebih rendah daripada Semenanjung," katanya pada sidang media ketika operasi bersepadu Penguatkuasaan Khas Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2018 di sini, malam tadi.

    Hadir sama Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan.

    Awal tahun ini, akhbar melaporkan JPJ menyita kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost milik Aliff Syukri yang didaftarkan atas nama syarikatnya dalam Ops Patuh di Kuala Lumpur kerana menggunakan LKM atau cukai jalan Sarawak, tetapi kenderaan itu digunakan di Semenanjung.

    Mengulas lanjut, Wan Ahmad Uzir berkata, semua pemilik kenderaan terbabit yang kebanyakannya kereta mewah dan lori berkapasiti enjin yang besar diberikan Notis 114 atau panggilan temu siasat dan diarahkan menyelesaikan perbezaan bayaran LKM.

    Beliau berkata, siasatan mendapati ramai pemilik sengaja membuat kesalahan itu untuk menikmati kadar LKM rendah, manakala selebihnya mendakwa tidak mengetahui perbezaan berkenaan kerana tidak diberitahu oleh penjual ketika membeli kenderaan.

    Katnya, kenderaan terbabit kebiasaannya dibeli di Sabah dan Sarawak sebelum dibawa ke Semenanjung, namun pemilik tidak mengisytiharkan kenderaan itu digunakan di kawasan baharu, sebaliknya terus membayar LKM pada kadar lama.

    "Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) di Sabah dan Sarawak, setiap urusan pembayaran LKM memerlukan kenderaan dibawa ke pejabat JPJ untuk pemeriksaan fizikal bagi mengelakkan kejadian seperti itu berlaku.

    "Kita sedang mengkaji punca yang menyebabkan ada kenderaan 'terlepas' dan boleh memperbaharui LKM di negeri terbabit sedangkan ia digunakan di Semenanjung," katanya.

    Terdahulu, Wan Ahmad Uzir berkata, sebanyak 4,380 kenderaan diperiksa dalam operasi bersepadu di seluruh Negeri Sembilan sepanjang tiga hari sehingga semalam, dengan 2,455 kesalahan dikesan dan 1,420 pemilik dikenakan tindakan.

    Beliau berkata, melalui strategi penyamaran sebagai penumpang bas, sebanyak 31 saman dikeluarkan membabitkan 33 bas kerana tidak menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer.

    Katanya, bilangan kes memandu di lorong kecemasan bagaimanapun menurun dengan mendadak kepada lima kes sahaja dan faktor penyumbang dikenal pasti adalah kekerapan rondaan pasukan penguat kuasa di lebuh raya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pemilik Kereta Mewah Semenanjung Guna LKM Sabah, Sarawak "