• Pembunuhan Karakter Membunuh Bangsa

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Perdebatan yang dibuat dalam konteks menegakkan bangsa perlu dilakukan dalam kerangka demokrasi dengan memfokuskan kepada idea dan polisi, bukan menjatuhkan pihak lawan dengan menelanjangkan aib peribadi mereka, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata peranan itu kini dimainkan “mercenary bloggers” yang bukan membunuh orang tetapi membunuh peribadi musuh politik.

    “Di Malaysia, pembunuhan karakter ini sudah menjadi permainan politik yang cukup menjelekkan,” katanya dalam catatan di laman blog beliau di capaian sskeruak.blogspot.my.

    Salleh menarik perhatian bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kini menjadi mangsa permainan politik kotor itu, telah menunjukkan keperibadian terpuji dengan menolak politik pembunuhan karakter.

    “Ini kerana beliau menyedari pembunuhan karakter boleh membunuh tamadun bangsa,” kata menteri itu.

    Menurut Salleh, usaha membunuh karakter peribadi Najib dilakukan semata-mata kerana mahu mengaibkan perdana menteri supaya beliau tewas kepada tekanan dan mengundur diri daripada politik.

    “Menariknya, biarpun diserang dengan pelbagai tohmahan, Datuk Seri Najib tetap santun dan berhemah dalam mempertahankan diri daripada serangan musuh politiknya.

    “Ini kerana beliau yakin pembunuhan karakter ini boleh melenyapkan kebenaran, menjahanamkan demokrasi dan secara perlahan membunuh mangsa,” jelas Salleh. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pembunuhan Karakter Membunuh Bangsa "