• Pembantu Restoren Curi Seluar Dalam Wanita Dipenjara

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 26 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR :  Gara-gara mencuri seluar dalam lelaki dan produk pembersih wanita serta pelbagai barangan lain di sebuah pasar raya, seorang pembantu restoran dihukum penjara lima hari dan denda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

    Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd. Noorhafiz Mohd. Arifin, 33, selepas dia mengaku bersalah mencuri empat kotak seluar dalam lelaki masing-masing jenama Scuba dan Edwin, dua kotak bedak jenama Pixy serta dua botol pembersih wanita Sumber Ayu di Mydin Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, kira-kira 11.30 pagi, semalam.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

    Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh ditangkap dan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

    Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai anak dan isteri kini menghidap penyakit leukemia manakala Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd. Halim memohon hukuman berbentuk pengajaran agar tertuduh insaf. - UTUSAN ONLINE.

    Subjects:

  • No Comment to " Pembantu Restoren Curi Seluar Dalam Wanita Dipenjara "