• Pembangkang Tidak Akan Berhenti Politikkan Program Kerajaan - Shahidan

    Published: Saturday, 3 February 2018
    A- A+
    ARAU: Pembangkang akan terus mempolitikkan apa sahaja program kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk Jualan Sentuhan Rakyat yang dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat mendapatkan barangan keperluan asas harian pada harga murah.

    Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata tindakan pembangkang itu adalah sinonim dengan mereka terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir.

    "Sejak 1995, saya tidak pernah berhenti membantu rakyat secara peribadi malah menolong mereka dengan pelbagai cara selain menyumbang perkakasan rumah tetapi masih dituduh cuba mempengaruhi rakyat," katanya.

    Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditemui pemberita pada program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Arau di perkarangan Masjid Guar Gajah, Pauh di sini, hari ini.

    Beliau diminta mengulas dakwaan pembangkang yang menuduh program tersebut hanya dibuat apabila PRU semasa dekat.

    Antara keperluan yang dijual pada program itu ialah ayam yang dijual RM5 seekor dan ikan kembung RM7 sekilogram selain barangan dapur serta produk agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

    Program yang bermula pukul 8 pagi itu dihadiri lebih 1,000 orang. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang Tidak Akan Berhenti Politikkan Program Kerajaan - Shahidan "