• Pembangkang Main Isu Secara Bermusim – PM

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Sunday, 4 February 2018
    A- A+


    TEMERLOH – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyelar tindakan pembangkang kerana menimbulkan isu secara bermusim terutamanya menjelang pilihan raya umum (PRU).

    Sehubungan itu, Najib berharap rakyat di negara ini tidak termakan dengan hasutan pembangkang, kerana sebagai kerajaan, pemimpin Barisan Nasional (BN) telah dan sentiasa melakukan pelbagai pembaharuan dan transformasi untuk kebaikan semua.

    Beliau seterusnya merujuk tindakan pembangkang memainkan isu di Pahang pada PRU 2013 berkaitan kewujudan kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng yang kononnya tidak selamat kepada penduduk.

    “Sedangkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah sahkan ia selamat dan selepas habis pilihan raya, iaitu lima tahun, isu itu senyap dan lesu sama sekali kerana ia hanya digunakan untuk tipu kita.

    Begitu juga dengan isu berkaitan blackout (bekalan elektrik terputus) di Bentong, sedangkan proses pengundian tamat selepas pukul 5 petang dan undian boleh dilakukan kerana keadaan pada masa itu masih cerah,” katanya.

    Najib berkata demikian semasa berucap pada Program Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Estet Ikan Paya Kampung Chempaka, Lanchang di sini.

    Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

    Perdana Menteri juga menyelar tindakan pembangkang, terutamanya tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertemu dengan beberapa wakil Kesatuan Eropah (EU) di ibu negara minggu lepas untuk membuat aduan berhubung sistem pilihan raya negara yang diamalkan selama ini.

    “… itulah sistem yang mengangkat dia (Dr Mahathir) menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Baru sekarang dia nak mengadu…kata sistem tidak adil. Kalau tidak adil, sepatutnya dari dulu lagi sudah membuat aduan.

    “Sebenarnya sistem itu adalah sistem yang adil. Mana boleh kita nak tipu kerana di situ ada ejen mengira… pembangkang juga ada wakil di situ, kalau ada yang tidak kena, mereka boleh buat aduan,” katanya.

    Justeru, Najib menasihatkan rakyat untuk memeriksa kesahihan setiap berita yang dibawa pembangkang, malah konsep itu juga diterapkan dalam ajaran Islam iaitu Tabayyun supaya tidak berlaku perkara tidak adil jika sesuatu perkara dipercayai tanpa usul periksa.

    Perdana Menteri seterusnya berharap masyarakat akan terus menyokong dan memberikan mandat yang besar kepada kerajaan sedia ada pada PRU14 akan datang bagi membolehkan lebih banyak program membantu rakyat dilaksanakan.

    “Kita perlukan kerajaan yang kuat. Bila kerajaan kita kuat, baru kita boleh meneruskan usaha membantu rakyat. Kita boleh beri kata dua kepada sesiapa yang tidak menghormati kita,” katanya.

    Najib berkata demikian untuk merujuk kepada pendirian Perancis yang tidak mendiskriminasikan minyak kelapa sawit walaupun blok EU mengenakan larangan import komoditi itu ke pasaran Eropah menjelang 2021.

    Katanya, keputusan itu dibuat selepas pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly, baru-baru ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang Main Isu Secara Bermusim – PM "