• Pembangkang Bimbang Undang-Undang Berita Palsu

    Published: Saturday, 3 February 2018
    A- A+
    KOTA BHARU: UMNO menyifatkan tindakan Lim Kit Siang menolak usaha kerajaan untuk menggubal undang-undang bagi mengekang berita palsu kerana bimbang pembangkang tidak boleh lagi berbuat demikian pada PRU-14.

    Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa, berkata maklum balas Ketua Parlimen DAP itu sudah dijangka kerana apa yang dilakukan kerajaan tidak pernah dipersetujui.

    Malah, katanya, tindakan itu menunjukkan Kit Siang seolah-olah menyokong pula kepada penyebaran berita palsu.

    "Kita tidak hairan Kit Siang tidak setuju dengan usaha yang dilakukan kerajaan kerana kerja mreka adalah membangkang semua perkara dilakukan kerajaan.

    "Mereka tolak kerana senjata mereka di saat akhir adalah menyebarkan berita fitnah.

    "Mereka sangat khuatir sekiranya tidak dapat menggunakan pendekatan itu untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya pada sidang media di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Annuar mengulas kenyataan Kit Siang yang mendakwa kononnya pengumuman kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang berita palsu tidak akan meningkatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

    Sementara itu, Ahmad mencadangkan supaya kerajaan mempercepatkan usaha bagi menggubal undang-undang baharu itu memandangkan PRU-14 semakin hampir.

    "Saya yakin menjelang PRU, semakin banyak berita fitnah akan disebarkan semata-mata mahu menjatuhkan BN.

    "Sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) itu boleh dibawa pada persidangan Parlimen Mac ini, saya kira ia langkah tepat dan semestinya akan mendapat sokongan ramai," katanya.

    Katanya, negara mempunyai 32 juta penduduk dan 43 juta telefon bimbit digunakan selain terdapat 18 juta akaun Facebook.

    "Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk mengekang berita palsu dan semua rakyat perlu memainkan peranan membantu kerajaan menangkis berita palsu," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang Bimbang Undang-Undang Berita Palsu "