• Pemain Sarawak Bebas Tuduhan Atur Perlawanan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+


    PETRA JAYA: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membebaskan dua pemain pasukan bola sepak Sarawak yang sebelum ini direman enam hari kerana disyaki terbabit dalam mengatur perlawanan.

    Majistret Sandy Yvette Freddy, membuat keputusan itu selepas Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkarnain Rousan Hasbi, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak menemui bukti kukuh untuk mendakwa kedua-dua pemain terbabit bersama seorang lelaki yang disyaki bookie.

    Dzulkarnain berkata, pasukan penyiasat SPRM sudah menjalankan siasatan rapi sejak dua pemain dan individu terbabit direman Jumaat lalu.

    "Tempoh tahanan reman semua suspek tamat hari ini. Pasukan penyiasat tidak berhasrat memohon lanjut tempoh reman dan memohon mahkamah membebaskan semua suspek dengan jaminan SPRM," katanya.

    Sejurus Sandy mengumumkan keputusan, kira-kira 50 ahli keluarga serta penyokong kedua-dua pemain itu yang menunggu di luar mahkamah bersorak sebagai tanda sokongan terhadap mereka.

    Pemain terbabit Maswandy Zakaria, 29, dan Mohd Hafiz Abu Bakar, 28, serta orang awam, Mohd Zaiman Rosli, 34, diwakili peguam Ahmad Zulfadli Abang Hamdan dan Saifulnizam Sam.

    Mereka ditahan SPRM selepas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengeluarkan kenyataan pada 11 Februari lalu mendakwa wujudnya kegiatan mengatur perlawanan Liga Perdana membabitkan Sarawak menentang Felcra United.-BHOnline

    Pada perlawanan itu, Sarawak mendahului 2-0 menerusi jaringan Bobby Gonzales pada minit ke-23 dan Mateo Roskam pada minit ke-34.

    Bagaimanapun, pelawat kemudian memperoleh gol menerusi Anselmo Arruda pada minit ke-88.

    Anselmo kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-92 masa kecederaan sebelum menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93.

    Subjects:

  • No Comment to " Pemain Sarawak Bebas Tuduhan Atur Perlawanan "