• Pelancong China Maut Dirempuh Ketika Melintas

    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+
    KOTA KINABALU: Seorang pelancong lelaki warga China maut dirempuh kereta ketika melintas di Jalan Pasir berhampiran Masjid Bandaraya, dekat sini, pagi Khamis.

    Dalam kejadian itu jam 10.50 pagi, Lyu Xueqi, 67, yang parah di kepala dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) sebelum disahkan meninggal dunia jam 3.07 petang.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan awal mendapati mangsa dirempuh kereta jenis Naza Sutera dipandu lelaki berusia 30 tahun yang dalam perjalanan dari arah Luyang ke kompleks beli-belah 1Borneo.

    "Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu melanggar mangsa yang datang dari arah sebelah kanan pembahagi jalan selepas gagal mengelak kerana jarak yang terlalu dekat.

    "Akibat rempuhan itu, mangsa parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke HQE 2 menggunakan ambulans," katanya ketika dihubungi, malam ini.

    Chandra berkata, selepas menerima rawatan hampir empat jam, pegawai perubatan HQE 2 mengesahkan mangsa meninggal dunia dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    "Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Inspektor Chong Chee Wah di talian 016 3032030. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pelancong China Maut Dirempuh Ketika Melintas "