• Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Langkah Serius Kerajaan Kawal Harga Barang

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+
    KUCHING: Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah antara langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barang pada masa kini.

    Menurut Timbalan Menteri KPDNKK Dato’ Henry Sum Agong berkata, SKHMP akan berkuatkuasa selama 12 hari bermula 10 Februari dan tamat pada 21 Februari 2018.

    “Pada perayaan ini, sebanyak 13 jenis barangan dikawal harganya meliputi kategori ayam, telur ayam, sayur-sayuran, hasil laut, barang kering dan daging babi,” katanya ketika sidang media sempena lawatan pelaksanaan SKHMP di sini, hari ini.

    Tambah beliau, tindakan tegas akan di ambil terhadap peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan, menggunakan alat timbang yang tidak disahkan dan gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

    “Menjual barangan pada harga yang lebih murah daripada harga maksimum adalah digalakkan sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah.

    “Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan di ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” ujar beliau.

    Justeru, bagi memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan, anggota Penguatkuasa KPDNKK akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.

    “Untuk menjayakan skim ini, para peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan.

    “Pengguna haruslah tahu mengenai tanggungjawab dan menggunakan hak mereka,” katanya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Langkah Serius Kerajaan Kawal Harga Barang "