• Pelajar Tingkatan 2 Ditangkap Curi Telefon Bimbit

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 14 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua ditahan polis hari ini selepas disyaki mencuri dua unit telefon bimbit di kediaman staf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Matang di sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kejadian disedari pengadu selepas mendapati dua unit telefon bimbit milik anaknya hilang pada pukul 1.10 petang.

    Menurutnya, pengadu kemudian dimaklumkan oleh warden asrama bahawa tukang cuci sekolah tersebut ternampak suspek masuk ke dalam rumahnya, manakala beberapa rakan subahatnya sedang menunggu di luar rumah.

    "Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah itu dengan membuka pintu depan yang kebetulan tidak berkunci.

    "Suspek kemudiannya dipercayai masuk ke dalam bilik anak perempuan pengadu yang ketika itu tiada orang berada di rumah tersebut," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

    Mengulas lanjut, Aidil memberitahu, anggaran kerugian dianggarkan sebanyak RM1,000.

    Jelasnya, bertindak atas maklumat itu, suspek kemudian ditangkap pada pukul 1.30 pagi tadi.

    "Hasil soal siasat, suspek memberitahu dia telah menyerahkan dua telefon bimbit itu kepada seorang lagi rakannya dikenali Alan.

    "Polis kini sedang giat memburu Alan, manakala suspek yang ditahan reman bagi siasatan lanjut," ujarnya lagi. - K! ONLINE
  • No Comment to " Pelajar Tingkatan 2 Ditangkap Curi Telefon Bimbit "