• 'Payung Emas' Tak Wujud

    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+


    PENYEBARAN berita palsu menerusi media sosial termasuk hadis yang disebarkan tanpa mengetahui sumber kesahihannya boleh membawa bencana dan perpecahan dalam masyarakat.

    Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, penerimaan secara membuta tuli itu membuatkan segelintir pihak teraniaya sekali gus bertentangan dengan kesucian Islam yang bersifat sebagai agama Rahmatan Lil Alamin iaitu membawa rahmat dan kesejahteraan bagi seluruh alam semesta.

    Katanya, antara hadis yang sangat popular di negara ini dan diterima masyarakat tanpa pernah mempersoalkan kesahihannya adalah hadis ‘payung emas’.

    "Hadis berkenaan kononnya menyebut mana-mana isteri yang mengizinkan suami berkahwin satu lagi, maka isteri berkenaan akan dikurniakan payung emas.

    "Ketika menjadi pengarah pusat hadis selama empat tahun, saya mengkaji mengenai hadis ini apabila mendapati ia menular dalam masyarakat untuk mengetahui sumbernya. Ini termasuk berkongsi dengan rakan pengajian hadis di India dan Pakistan yang akhirnya mendapati hadis ini tidak pernah wujud," katanya pada forum Bicara BH bertajuk ‘Bisa Fitnah Siber’, di Balai Berita, Kuala Lumpur hari ini.

    Forum itu turut dihadiri dua lagi ahli panel iaitu, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Pematuhan Media Baru, Pematuhan dan Advokasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim, manakala wartawan Pendidikan BH, Meor Ahmad Nasriin Rizal Ishak bertindak selaku moderator.

    Forum anjuran BH dengan kerjasama SKMM itu bertujuan menyedarkan pengguna bahawa maklumat palsu mempunyai kesan terhadap ekonomi, keselamatan dan keamanan negara serta reputasi individu.

    Ia adalah siri pertama daripada enam siri yang akan diadakan dengan kerjasama SKMM.

    Mohd Farid Ravi berkata, adalah mustahil jika sesuatu hadis hanya akan memberikan kelebihan dan kegembiraan kepada satu pihak, manakala pihak yang lain akan berduka cita dan mengalami kesusahan kerana ia bertentangan dengan sifat Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

    Beliau berkata, penyebaran hadis palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan ramai pihak terpengaruh, malah membuatkan ramai wanita yang termakan dengan balasan ‘payung emas’ berkenaan.

    Sehubungan itu Mohd Farid berkata, hadis yang disebarkan secara demikian tidak sepatutnya diterima secara bulat-bulat sebaliknya perlu dikaji dan diselidiki kesahihan sumbernya terlebih dulu terutama apabila semakin ramai yang cenderung menerima hadis menerusi media sosial.

    "Menilai hadis bukan sesuatu perkara mudah kerana kita perlu mengetahui susur galur hadis itu sendiri memandangkan satu hadis mungkin mempunyai lima hingga enam jalan penyebarannya.

    "Jadi untuk mengetahui kesahihannya semua jalan penyebaran berkenaan perlu dikaji terlebih dulu sehinggakan ulama terdahulu akan mengambil masa yang sangat panjang bagi menilai sesuatu hadis," katanya.

    Beliau berkata, penerimaan masyarakat hari ini terhadap sesuatu hadis yang disebarkan di media sosial disifatkan amat membimbangkan apabila mereka dengan mudah menerima dan mempercayainya tanpa bertanyakan sumber kesahihannya.

    Katanya, ini termasuk penyebaran hadis yang turut dikaitkan dengan isu semasa yang berlaku di dalam negara sehingga boleh menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Payung Emas' Tak Wujud "