• PATI Terkedu Tapak Pembinaan Diserbu

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+

    MIRI: Sekumpulan 20 buruh warga asing terkedu selepas tapak pembinaan mereka diserbu sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen dalam Op Libas di Persimpangan Bekenu, Jalan Lama Miri - Bintulu, di sini pagi, semalam.

    Dalam serbuan pada jam 10.30 pagi itu, 19 lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Timor Leste berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi khas itu yang turut mendapat sokongan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri.

    Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Miri, Superintendan Tan Hiap Seng, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan sejak lebih seminggu lalu, khusus bagi menangani kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

    Menurutnya, hasil serbuan, anggota penguatkuasa menahan semua buruh asing terbabit, manakala seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun iaitu majikan mereka turut ditahan.

    "Semua memberikan kerjasama dan tiada pergelutan yang berlaku sepanjang operasi," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

    Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua mereka melakukan pelbagai kesalahan, termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, selain dokumen tamat tempoh.

    "Semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bekenu dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c), Seksyen 39 (b) dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.-BHOnline
  • No Comment to " PATI Terkedu Tapak Pembinaan Diserbu "