• Pasukan Sarawak Perlu Kekal Profesional

    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+

    Pengurus pasukan Sarawak, Wahab Abdul Rahim tekad tidak akan membenarkan skandal mengatur perlawanan menjejaskan pasukan yang sedang bergelut dalam Liga Perdana itu ekoran penahanan dua pemain pasukan itu.

    Dua pemain itu ditahan reman selama enam hari di Kuching susulan tuduhan mengatur perlawanan yang menyaksikan skuad Bujang Senang tewas 2-3 di tangan FELCRA FC, 9 Februari lalu.

    Sarawak dibolosi tiga gol dalam tempoh lima minit terakhir perlawanan sekali gus mencetuskan keraguan sehingga Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mengarahkan Wahab untuk menjalankan siasatan mengenai tuduhan terbabit.

    Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pemain berusia 28 tahun dan 30 tahun malam tadi sebelum dibawa ke mahkamah, pagi ini.

    Sehubungan itu, Wahab menggesa pemain dan barisan kejurulatihan pasukan itu agar tidak terlalu memikirkan mengenai skandal terbabit sebaliknya fokus kepada persiapan bertemu Sabah di Kota Kinabalu, 24 Februari ini.

    “Semua pemain adalah profesional dan perlu membuktikan tahap profesionalisme mereka. Mereka perlu fokus terhadap apa yang perlu mereka lakukan khususnya terhadap aksi bertemu Sabah selepas ini.

    “Pasukan perlu kembali bersedia dan lupakan apa yang sedang berlaku.”

    Pada aksi bertemu FELCRA FC itu, penyerang lawan, Anselmo Arruda Da Silva meledak hatrik selepas Sarawak mendahului dua gol ketika aksi memasuki minit ke-87 dengan semua gol dijaringkan menerusi cara yang sama.

    Arruda menanduk masuk tiga hantaran lintang daripada sebelah sayap kiri tanpa dicabar mana-mana pemain dalam kotak penalti.

    Bagaimanapun, Wahab enggan mengulas mengenai penahanan dua pemain terbabit.

    “Biar pihak berkuasa menyelesaikan siasatan mereka sebelum kita mengambil langkah selanjutnya,” katanya.

    Sarawak memulakan saingan musim ini dengan baik apabila meraih kemenangan 1-0 ke atas Kuantan FA sebelum mengikat Terengganu FC II (TFC) 1-1 menerusi jaringan penyamaan minit akhir.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pasukan Sarawak Perlu Kekal Profesional "