• Pasangan Kekasih Suspek Edar Dadah Ditahan

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+
    BATU GAJAH: Sepasang kekasih ditahan polis selepas pemeriksaan menemui sejumlah dadah dan cecair kloroform dipercayai untuk menghasilkan bahan larangan itu di sebuah rumah di Jalan Besar Bemban Baru di sini, 24 Januari lalu.

    Lelaki tempatan berusia 47 tahun dan wanita warga Vietnam berusia 32 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, pada jam 2.45 petang hari berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari, berkata dalam serbuan itu, polis menemui heroin seberat 27.0 gram (g), ketamin (1.12g) dan kafein (24.2g) dipercayai untuk edaran di sekitar bandar ini, selain kloroform disyaki bahan untuk memproses dadah.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai pasangan kekasih itu sudah empat bulan menjalankan kegiatan terbabit.

    Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dadah, namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pembabitan suspek wanita dalam kegiatan berkenaan.

    "Ujian air kencing dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis morfin, manakala suspek wanita positif amphetamine dan methamphetamine.

    "Semakan rekod jenayah lampau mendapati lelaki itu memiliki empat rekod membabitkan kes dadah dan satu kes jenayah, manakala wanita berkenaan yang dua tahun berada di negara ini tiada rekod jenayah.

    "Bagaimanapun, suspek wanita disiasat mengikut Akta Imigresen berikutan tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Ahmad Tarmizi berkata, selain rampasan dadah dan cecair kloroform itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Audi TT milik suspek lelaki bernilai RM100,000.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek direman 14 hari hingga Selasa depan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Sementara itu, dalam kes berasingan jam 6.30 petang semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat 58.03g dianggarkan bernilai RM4,100 di hadapan sebuah restoran di Jalan Pusing di sini.

    "Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Semakan pula mendapati suspek memiliki tiga rekod lampau membabikan jenayah dan dadah.

    "Suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pasangan Kekasih Suspek Edar Dadah Ditahan "