• Pakatan Tidak Mampu Penuhi Semua Janji - Tun M

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+
    PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pakatan harapan (PH) yang diketuainya, tidak mampu memenuhi semua janji dibuat pemimpin mereka setakat ini, jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menubuh kerajaan kelak.

    Berikutan itu, Dr Mahathir berkata, pakatan terbabit kini menilai semula kira-kira 60 janji dibuat pemimpin mereka setakat ini, sebelum disenaraikan dalam manifesto untuk dikemukakan kepada pengundi menjelang PRU14 itu.

    Beliau mendakwa, kepemimpinan PH tidak terikat kepada kenyataan dan janji dibuat pemimpin tertentu jika mendapati ia di luar kemampuan kewangan.

    "Kita sedar, bahawa sebelum kita menyiapkan manifesto, ramai juga daripada pemimpin-pemimpin pakatan harapan yang membuat kenyataan tertentu (berhubung janji kepada rakyat).

    "Kita tidak terikat dengan kenyataan dibuat itu, jika dapati tidak dapat dilaksanakan apabila menerajui kerajaan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Galeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.

    Yang turut hadir Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

    Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM, berkata pemimpin pakatan membuat 60 janji yang diharap dapat dilaksanakan walaupun mungkin tidak seperti diharapkan rakyat.

    "Kita berpendapat, kewangan kerajaan ketika itu mungkin tidak boleh menampung janji-janji yang keterlaluan.

    "Berikutan itu, kita akan membuat janji setakat yang mampu sahaja dan akan mengeluarkan manifesto ini tidak lama lagi," katanya.

    Dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir berkata, PH akan membuat rayuan di mahkamah pada Khamis ini, berikutan kegagalan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak memberi maklum balas kepada permohonan mereka membentuk sebuah pakatan.

    Sebelum ini, media melaporkan pakatan itu menghantar permohonan sejak pertengahan tahun lalu dan mahu isu itu diselesaikan untuk bertanding pada pilihan raya raya umum ke-14 nanti.

    Mengulas isu pembahagian kerusi peringkat negeri di antara parti dalam pakatan itu, Dr Mahathir berkata, masih ada beberapa pembahagian kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dipersetujui parti dalam PH.

    "Mereka (peringkat negeri) kalau tak dapat selesaikan pada Jumaat ini kena beritahu ibu pejabat dan perkara itu akan diangkat kepada Majlis Presiden untuk ditentukan di peringkat pusat.

    "Segala keputusan selepas itu mesti diterima semua pihak dan setakat ini kita dah selesai (pembahagian kerusi) di empat buah negeri," katanya sambil enggan mendedah empat buah negeri dimaksudkan.

    INFO: Antara janji pemimpin pakatan harapan

    # Hapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)

    # Turun dengan sasaran jangka panjang hapuskan tol

    # Turun caj pengangkutan awam

    # Pengampunan diraja untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim

    # Melantik Anwar sebagai Perdana Menteri selepas Dr Mahathir

    # Siaran Liga Perdana Inggeris (EPL) percuma

    # Isytiharkan aset semua menteri dan pegawai kanan kerajaan

    # Dua penggal tempoh jawatan Perdana Menteri

    # Stabilkan harga petrol

    # Kurangkan jumlah Menteri Persekutuan

    # Menteri Kewangan diasingkan daripada jawatan Perdana Menteri

    # Kaji semula kontrak kerajaan dengan syarikat asing

    # Pendidikan percuma kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah

    # Pulihkan FELDA

    # Ubah sukatan mata pelajaran Sejarah Sabah - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pakatan Tidak Mampu Penuhi Semua Janji - Tun M "