• Padah Guna Ketum Ubat Kencing Manis

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+

    SEREMBAN: Alasan seorang penganggur menggunakan air ketum bagi mengubati penyakit kencing manis tidak melepaskan dia daripada didenda RM2,300 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

    Majistret V Vanita membuat keputusan itu terhadap Zulkefli Mohd Yasin, 46, apabila dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

    Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak yang masih bersekolah itu didakwa memiliki 1.22 liter cecair mitraginin di rumahnya di Taman Desa Cempaka, Nilai, dekat sini, kira-kira jam 10.50 pagi pada 24 Julai tahun lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih empat tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng, manakala tertuduh diwakili peguam Noor Azizi Abdull Aziz.

    Tertuduh ketika membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman, memberitahu mahkamah dia menggunakan air ketum berkenaan sebagai ubat bagi penyakit kencing manis dihidapinya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Padah Guna Ketum Ubat Kencing Manis "