• 'Orang Lagi Percaya Tuduhan...'

    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+
    BANDAR SERI JEMPOL: Tuduhan palsu yang disebarkan di laman Facebook menyebabkan seorang pemilik restoran di sini, terpaksa menutup perniagaan dan berpindah walaupun siasatan pihak berkuasa mendapatinya tidak bersalah.

    Kamariyah Ab Bakar, 41, mengalami kerugian besar akibat kejadian pada Jun 2015 itu, malah menghadapi tekanan perasaan disebabkan tanggapan serong masyarakat terutama pelanggan.

    "Seorang pelanggan yang tidak berpuas hati membuat tuduhan di laman sosial, menyebabkan ramai menganggap saya sengaja mengambil kesempatan dengan menjual makanan pada harga mahal.

    "Malah, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) turut datang membuat siasatan di restoran saya.

    "Mereka bagaimanapun mendapati harga yang dikenakan munasabah dan tidak mengambil tindakan lanjut," katanya di sini, hari ini.

    Dalam kejadian pada bulan puasa 2015 itu, gambar resit bayaran restoran berkenaan dimuat naik di Facebook oleh seorang pelanggan yang datang berbuka puasa secara berkumpulan dan mendakwa harga dikenakan terlalu mahal sehingga menjadi viral.

    Bagaimanapun, Kamariyah menjelaskan, harga mencecah RM800 dikenakan kerana pelanggan terbabit menempah lapan jenis hidangan untuk hidangan 25 orang, malah penguat kuasa KPDNKK turut berpuas hati dengan penjelasan itu.

    Kamariyah berkata, selepas mengalami kerugian besar susulan tuduhan itu, beliau berpindah namun hanya bertahan beberapa bulan disebabkan kos sewa premis yang mahal, sebelum sekali lagi berpindah ke di Kuala Pilah.

    "Saya kerap menangis dan malu untuk bertemu orang selepas kejadian itu.

    "Saya tak dapat gambarkan perasaan. Saya rasa terasa terlalu lemah dan kecewa dengan dakwaan itu yang menjejaskan periuk nasi saya.

    "Bayangkan, pelaburan ratusan ribu ringgit dan penat lelah membina perniagaan dimusnahkan sekelip mata oleh satu tuduhan palsu di Facebook. Saya cuba memberi penjelasan, namun tidak berkesan kerana kerosakan sudah berlaku.

    "Kalau ikutkan perasaan, saya mahu menyaman pihak yang menyebarkan berita palsu itu, namun selepas berbincang panjang dengan ahli keluarga yang lain, saya tidak meneruskannya kerana tidak sampai hati. Saya reda dengan ujian Allah dan mungkin rezeki saya di tempat lain," katanya.

    Beliau bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mewujudkan undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu dalam usaha memastikan masyarakat tidak menyebarkan maklumat sesuka hati sehingga menjejaskan orang lain.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan mengkaji untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu dalam media sosial berikutan kesannya yang membimbangkan dan mengancam kestabilan politik serta ketenteraman awam.

    Berikutan itu, sebuah jawatankuasa khas membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, ditubuhkan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Orang Lagi Percaya Tuduhan...' "