• Operasi Tangkap Anjing Liar Tetap Diteruskan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+


    KUCHING: Operasi menangkap anjing berkeliaran dan tidak bertuan di Sarawak tidak akan dihentikan walaupun mendapat desakan pelbagai pihak, termasuk Persatuan Menyelamat Hidupan Terbiar (SOS) dan Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA).

    Ketua Kesihatan Awam Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dr Cheong Yaw Liang, berkata tindakan itu demi kepentingan orang ramai ekoran ancaman penyakit anjing gila atau rabies.

    Beliau berkata, prosedur itu penting kerana bukan semua anjing berkeliaran adalah sihat, sebaliknya ada banyak yang sakit dan dibimbangi boleh menyebabkan penularan rabies jika tidak dikawal.

    "Kita bukan menghapuskan anjing berkenaan tetapi cuma mahu mengawal populasinya agar negeri ini bebas daripada anjing yang berkeliaran.

    "Situasi tidak mengizinkan, justeru kami harus menghentikan penularan rabies sangat serius di Sarawak pada masa ini yang sudahpun mengorbankan nyawa," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Dialog Menyelamatkan Anjing Terbiar di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, pagi tadi.

    Yang turut hadir, Datuk Bandar MBKS, Datuk James Chan; Presiden SOS, Kitty Chin; dan Presiden SSPCA, Datin Dona Drury Wee.

    Yaw Liang berkata, keputusan menangkap anjing berkeliaran juga dibuat berdasarkan aduan orang ramai yang takut dengan kehadiran haiwan itu ekoran ancaman rabies.

    "Keutamaan kita ialah keselamatan orang awam dan bertindak mengikut aduan mereka.

    "Ramai orang berasa tidak selamat kerana terlalu banyak anjing liar. Mereka mahu kawasan masing-masing bebas daripada anjing berkenaan," katanya.

    Beliau turut menasihati orang ramai untuk menjaga anjing peliharaan dengan baik tanpa membiarkannya bebas berkeliaran.

    Sementara itu, James menasihati golongan pencinta haiwan khususnya supaya memahami usaha kerajaan membanteras penularan rabies di negeri ini.

    "Kebimbangan kita adalah penularan rabies. Oleh itu, kita mahu memastikan penyakit ini dihapuskan.

    "Pencinta haiwan patut faham bahawa usaha kerajaan ini adalah demi kesejahteraan masyarakat. Semua orang harus bekerjasama memastikan ancaman rabies dapat ditangani dengan baik," katanya.-BHOnline
  • No Comment to " Operasi Tangkap Anjing Liar Tetap Diteruskan "