• Nurul Izzah Sedia Lawan Kerusi Johor Bahru

    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar membayangkan beliau bersedia menentang Tan Sri Shahrir Samad untuk rebut kerusi Parlimen Johor Bahru pada PRU14 sekiranya diarahkan parti.

    Katanya, beliau tiada sebarang masalah diletakkan di mana-mana kerusi kerana sebagai pejuang parti, beliau akur kehendak dan keputusan kepimpinan.

    “Begitulah lumrah hidup berjuang dalam PKR dan saya harus yakin, dan usaha sedaya mungkin demi berjuang mempertahankan agenda ekonomi rakyat.

    ”PRU adalah penentu hala tuju masa depan ekonomi rakyat. Jangan ambil mudah pilihan rakyat,” katanya, semalam.

    Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mencadangkan beliau bertanding kerusi Parlimen Johor Bahru.

    Kerusi itu disandang Shahrir selama tujuh penggal sejak 1978.

    Pada PRU13, Shahrir menang dengan majoriti 10,495.

    Nurul Izzah, yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR, disifatkan sebagai ‘pembunuh raksasa’ setelah menang kerusi Lembah Pantai, menewaskan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Jalil yang ketika itu, menjadi Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada PRU12.

    Pada PRU13 pula, Nurul Izzah menewaskan Ketua Umno Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, dengan majoriti 1,847 undi.

    Selain Johor Bahru, dalam laporan sebuah portal berita, nama Nurul Izzah juga disebut menggantikan Mohd Rafizi Ramli yang hilang kelayakan bertanding apabila dijatuhi penjara 30 bulan selepas didapati bersalah dedah maklumat perbankan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), enam tahun lalu.

    Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga menafikan beliau akan bertanding di kerusi Pandan pada PRU14.

    “Ia spekulasi semata-mata,” katanya.

    Memetik laporan sumber, portal itu menyatakan mulanya Nurul Izzah akan diletak bertanding di Permatang Pauh bagi mempertahankan kerusi tradisi ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyandang kini, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga ibunya. - Sinar Harian 



    Subjects:

  • No Comment to " Nurul Izzah Sedia Lawan Kerusi Johor Bahru "