• Netizen Diminta Henti Sebar Fitnah Terhadap Menteri

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Tindakan netizen menyebarkan fitnah dan memburuk-burukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Sri Nancy Shukri di laman sosial adalah suatu perbuatan yang sangat tidak beretika. Perkara ini telah berkali-kali dinafikan oleh beliau sejak fitnah ini dilemparkan pada tahun 2015.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Dato' Sri Rohani Karim berkata, sepatutnya isu ini tidak timbul lagi kerana penjelasan terhadapnya telah dilakukan dan jelas ia merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu dengan memutarbelitkan kenyataan dan mereka-reka fitnah.

    Menurutnya, sememangnya inilah masa yang tepat bagi Kerajaan menggubal undang-undang berita palsu seperti yang dirancang bagi membanteras penyebaran fitnah secara berleluasa sehingga boleh memecah-belahkan masyarakat serta menghancurkan keamanan negara.

    Beliau menerusi satu kenyataan kepada media hari ini menjelaskan, perkara tersebut sedang dalam perincian di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mana telah di bawa ke Kabinet baru-baru ini.

    "Saya berharap pihak berkuasa dapat menjejaki penyebar fitnah dan dapat di bawa ke muka pengadilan dengan segera

    "Saya juga menggesa supaya netizen dapat menghentikan penyebaran berita palsu ini dan menyeru agar masyarakat tidak mempercayai sewenang-wenangnya berita palsu dan fitnah tanpa menyemak dengan sumber yang sahih," katanya. - Sarawakiana

  • No Comment to " Netizen Diminta Henti Sebar Fitnah Terhadap Menteri "