• Nestle Perjelas Kandungan Gula Dalam MILO

    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Nestle (Malaysia) Berhad menjelaskan kandungan 40 peratus jumlah gula yang ditunjukkan pada label MILO merujuk kepada jumlah gula dalam serbuk minuman perisa coklat itu sebelum air ditambah.

    Pakar Pemakanannya, Nurul Iliani Ahmad, berkata serbuk MILO apabila dibancuh mengikut penyediaan disyorkan iaitu lima sudu kecil bersama 200 mililiter (ml) air panas, hidangan itu hanya mengandungi enam peratus gula.

    "Apabila 200 ml air ditambah, kandungan gula adalah enam peratus daripada keseluruhan minuman, termasuk gula semula jadi daripada susu dan malt," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Minggu lalu, satu rakaman video yang mendakwa MILO sebagai minuman tidak sihat menjadi viral sehingga menimbulkan kekeliruan kepada pengguna mengenai khasiatnya.

    Nurul Iliani berkata, MILO mengandungi nutrisi yang bermanfaat iaitu 'protomalt', ekstrak malt yang memberi kombinasi pelbagai karbohidrat untuk tenaga.

    Katanya, MILO turut mengandungi 'activ-go', kombinasi vitamin B (B2, B3, B6, B12) untuk pengeluaran tenaga yang optimum.

    "Vitamin D membantu penyerapan kalsium dalam badan kerana elemen itu dan fosforus penting untuk kesihatan tulang.

    "Zat besi pula membantu pembentukan sel darah merah manakala protein penting untuk pembinaan tisu badan bagi pertumbuhan," katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Halal Nestle, Othman Md Yusoff, pada satu sidang media di sini, berkata sekiranya pengguna menyediakan minuman itu mengikut sukatan seperti yang dicadangkan pada bungkusan MILO, minuman berkenaan tidak akan mengandungi kadar gula berlebihan.

    "Masalah timbul apabila pengguna tidak mengikut cadangan sukatan hidangan dengan menambahkan gula atau susu pekat dalam minuman itu," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Nestle Perjelas Kandungan Gula Dalam MILO "