• Nelayan Hilang Ketika Keluar Menjala Udang Di Sungai Kemena Ditemui Lemas

    Published: Monday, 26 February 2018
    A- A+

    BINTULU: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menjala udang di Sungai Kemena pada Jumaat lalu ditemui mati lemas di sungai tersebut, semalam.

    Mangsa, Dalahan Dibang, 62, dari Kampung Jepak di sini ditemui dalam keadaan terapung di tebing sungai oleh pekerja kilang papan yang kebetulan memancing ikan di situ kira-kira pukul 3.20 petang.

    Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sejurus menerima laporan penemuan mangsa, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu telah diarahkan ke lokasi kejadian.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi penemuan mangsa, pasukan bomba mendapati mayat lelaki warga emas itu masih dalam keadaan sempurna.

    "Anggota bomba kemudian mengangkat mayat mangsa ke dalam bot penyelamat sebelum dibawa ke darat untuk tindakan lanjut.

    "Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga mangsa sebelum dihantar ke Hospital Bintulu," katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mengulas lanjut, Ling Hii memberitahu, sebelum itu, pihaknya hanya menerima laporan kehilangan mangsa pada pukul 12.52 tengah malam tadi.

    Katanya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan keluar menjala udang di Sungai Kemena pada pukul 2.30 petang, Jumaat lalu.

    "Namun, mangsa dilaporkan tidak balik ke rumah sehingga semalam sebelum isterinya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," ujarnya lagi. - K! ONLINE
  • No Comment to " Nelayan Hilang Ketika Keluar Menjala Udang Di Sungai Kemena Ditemui Lemas "