• Nelayan Gaza Mogok, Bantah Serangan Israel Ke Atas Bot Nelayan

    Published: Monday, 26 February 2018
    A- A+

    GAZA -- Nelayan di Semenanjung Gaza pada Sabtu mengumumkan mogok umum selama dua hari sebagai membantah pembunuhan seorang rakan mereka oleh rejim Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

    Pengerusi Kesatuan Nelayan Gaza, Nizar Ayyash, memberitahu pemberita serangan tentera laut Israel ke atas sebuah bot nelayan telah meragut nyawa seorang penduduk Palestin dan mencederakan dua lagi yang kemudiannya ditahan.

    Jurucakap Hamas, Abdulatif al-Qanou, berkata serangan itu adalah satu jenayah terhadap nelayan yang tidak bersalah.

    '’Israel bertanggungjawab sepenuhnya bagi jenayah ini, yang merupakan satu lagi keagresifan rejim itu yang tidak berkesudahan terhadap rakyat kami," katanya dalam satu kenyataan.

    Sementara itu, Zakareya Bakker, penyelaras jawatankuasa nelayan di Gaza, berkata Ismail Abu Reyallah,18, terbunuh dalam insiden tersebut manakala dua lagi rakannya yang cedera telah ditahan oleh tentera laut Israel.

    Pejabat perhubungan Palestin-Israel berkata tentera Israel masih menyimpan jenazah Abu Reyallah tanpa memberikan sebarang butiran lanjut berkaitan dua lagi nelayan yang cedera dan sedang ditahan.

    Pada Mei tahun lepas, seorang nelayan Palestin telah ditembak mati oleh tentera laut Israel di Semenanjung Gaza.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Nelayan Gaza Mogok, Bantah Serangan Israel Ke Atas Bot Nelayan "