• Namewee, Jangan Ikut Perangai Anjing Jalanan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 17 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pengarah dan pemuzik kontroversi, Namewee, dinasihatkan jangan mengikut perangai anjing jalanan yang suka menyalak untuk mendapatkan perhatian.

    Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata tindakan penyanyi itu memuat naik klip video terbarunya, disifatkan menghina rakyat Malaysia terutama orang Melayu beragama Islam di negara ini.

    "Sempena tahun anjing ini, saya ingin menasihatkan Namewee supaya jangan ikut perangai anjing jalanan untuk menarik perhatian, jadilah anjing yang diajar boleh menyalak apabila tuannya diganggu.

    "Banyak anjing gila sudah ditangkap, kenapa pula kita beri peluang kepada anjing seperti Namewee ini terlepas, saya merayu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap Namewee secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Razlan berkata, ramai yang mengikuti karya Namewee tahu bagaimana perasaan beliau terhadap Malaysia dan kebencian penyanyi itu terhadap orang Melayu beragama Islam di negara ini.

    Katanya, karya yang memperlekehkan dan menghina agama mahupun bangsa perlu dihentikan kerana ia hanya akan mencetuskan perasaan benci dalam kalangan masyarakat dan akhirnya meruntuhkan keharmonian kaum yang dibina selama ini.

    "Saya percaya perbuatan jijik dan tidak bertanggungjawab Namewee ini tidak mendapat sokongan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini, tidak ada rakyat Malaysia yang mahukan perasaan kebencian dalam diri mereka.

    "Kita akui setiap video Namewee mempunyai jumlah penonton yang berjuta dan beliau sengaja mempergunakan isu sensitif untuk membuat beliau terkenal serata dunia.

    "Tidak mustahil ia pula akan menjadi ikutan kepada orang lain untuk menghina bangsa lain semata-mata untuk mempopularkan diri," katanya.

    Namewee memuat naik klip video terbarunya sempena Tahun Baru Cina bertajuk 'Like A Dog', yang memaparkan individu memakai topeng anjing melakukan tarian lucah berlatar belakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Namewee, Jangan Ikut Perangai Anjing Jalanan "