• Najib Sedia Kembalikan Hak Sarawak Dalam MA63

    Reporter: Yusz Man
    Published: Saturday, 10 February 2018
    A- A+
    Foto Sufri Yusof


    KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan akan mengembalikan hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Beliau berkata, apa sahaja hak Sarawak yang terambil secara sengaja atau tidak sengaja dalam MA63 akan dikembalikan untuk kesejahteraan rakyat.

    “Saya sanggup kembalikan hak Sarawak. Kita tidak perlu ambil hak orang lain.

    “Apa yang lebih penting adalah kita semua akan terus kekal bersama Barisan Nasional (BN),” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

    Malah menurutnya, beliau sentiasa bersedia untuk berunding dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkaitan MA63.

    “Kalau orang Sarawak senyum, kita pun akan gembira.

    “Saya dengan Abang Jo akan berunding dengan baik dan mencari penyelesaian,” ujarnya.

    Jelasnya, dahulu kalau bercakap mengenai MA63 sudah pasti akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

    Sementara itu, Abang Johari menjelaskan, fasa pertama tuntutan Sarawak melibatkan MA63 sudah selesai dan sekarang masuki fasa seterusnya membabitkan perundangan.

    “Fasa pertama selesai dan seterusnya babitkan fasa undang-undang yang termaktub dalam MA63,” jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Najib Sedia Kembalikan Hak Sarawak Dalam MA63 "