• Naib Ketua Pemuda PAN gagal ketepikan tuduhan hasutan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 27 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan sabitan kes fitnah dan hukuman penjara lapan bulan terhadap Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, berhubung kenyataan ketika perhimpunan #KitaLawan pada 2015.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah, menolak rayuan balas Fakhrulrazi dan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen pada 25 Ogos 2016.

    Azman, dalam penghakimannya berkata keputusan oleh Mahkamah Sesyen adalah selamat untuk dikekalkan.

    "Berhubung hukuman pula, mahkamah ini berpuas hati bahawa hukuman adalah wajar dan tidak keterlaluan atau terlalu ringan," katanya.

    Tambah beliau, Mahkamah Sesyen membuat keputusan yang betul dalam penemuannya bahawa pembelaan Fakhrulrazi tidak termasuk dalam pengecualian mengikut Seksyen 3(2) Akta Hasutan 1948.

    Fakhrulrazi merayu untuk mengetepikan sabitan dan secara alternatif, mengurangkan tempoh penjara, manakala pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir, merayu supaya hukuman penjara ditambah.

    Azman turut mengekalkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin seperti diperintahkan sebelum ini dan membenarkan permohonan Fakhrulrazi, yang diwakili peguam Ariff Azami Hussein, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga selesai rayuan.

    Ariff Azami, ketika ditemui selepas prosiding, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

    Pada 8 September 2015, Fakhrulrazi mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebut kata-kata menghasut pada perhimpunan#KitaLawan pada 21 Februari 2015.

    Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pada 25 Ogos 2016, Hakim Mahkamah Sesyen, Shamsudin Abdullah, mengenakan hukuman penjara lapan bulan terhadap Fakhrulrazi selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Naib Ketua Pemuda PAN gagal ketepikan tuduhan hasutan "