• Misteri Bilik Tanpa Litar Eletrik Terbakar

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+

    “Saya pelik bagaimana bilik ini boleh terbakar tiba-tiba sedangkan tiada sebarang pendawaian elektrik,” kata Zariani Tibrani, 34, menceritakan bagaimana sebuah bilik terbakar secara misteri sebelum api merebak.

    Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, dia tidur di bilik utama sebelum terjaga akibat terhidu bau asap lalu melihat api marak dari bilik berkenaan.

    Dia berseorangan di rumah ketika itu kerana suami, Mohd Yusoff Mohammad, 42, bekerja sebagai tukang kebun di Pejabat Agama Daerah Setiu manakala anak, Nur Balqis Syahirah Abdullah, empat tahun, berada di tadika.

    Katanya, sebelum kejadian itu, dia berbual dengan beberapa jiran sebelum masuk berehat kerana kurang sihat pada jam 10 pagi.

    “Saya tertidur sementara di bilik utama kerana pada 11.30 pagi mahu ke perjumpaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

    “Sewaktu tidur saya terasa sesak nafas hingga terbatuk tambahan pula ada asma dan terkejut apabila buka mata nampak asap tebal dan api marak dari bilik sebelah.

    “Saya segera berlari meminta tolong daripada jiran untuk memadam kebakaran,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Buluh Hilir di Setiu, hari ini.

    Zariani yang juga seorang peniaga kedai makan berkata, kebakaran merebak ke bumbung dan lantai rumah namun dapat dipadamkan dalam tempoh beberapa minit dengan bantuan jiran.

    “Kerugian dianggarkan sekitar RM15,000 termasuk pakaian serta wang tunai RM500 hasil perniagaan. Bilik ini memang tidak ada sebarang pendawaian elektrik dan hanya digunakan untuk solat dan simpan pakaian,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, kejadian itu kali kedua berlaku di bilik sama tanpa diketahui puncanya.

    “Kali pertama berlaku lima tahun lalu dan ketika itu kami semua tiada di rumah.

    “Sewaktu kejadian pertama dulu, seminggu sebelum kejadian berlaku beberapa peristiwa pelik seperti bunyi pinggan mangkuk berlaga waktu malam, ada juga pinggan yang pecah tetapi kali ini tiada sebarang tanda,” katanya.

    Dia berkata, mereka sekeluarga baru saja tinggal di situ 10 tahun lalu.

    “Al-Quran yang saya gunakan setiap hari turut berada dalam bilik itu namun hanya terbakar pada bahagian hadapan, sementara kandungannya masih elok.

    “Beberapa pakaian termasuk seragam Rela saya turut rosak dalam kebakaran itu,” katanya.

    Mohd Yusoff berkata, dia berhasrat untuk memanggil pengamal perubatan Islam dan membuat solat hajat di rumahnya itu nanti.

    “Saya juga berharap ada pihak yang sudi membantu ringankan beban membaik pulih semula rumah dan bilik yang terbabit dalam kebakaran ini,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohamad Jusoh berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Misteri Bilik Tanpa Litar Eletrik Terbakar "