• Minuman keras, rokok seludup RM2.5j dirampas

    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+


    JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas minuman keras dan rokok seludup bernilai lebih RM2.5 juta selepas menahan sebuah kapal di kedudukan 1.9 batu nautika perairan Tanjung Piai, berhampiran Pontian, kelmarin.

    Berikutan itu, Maritim Malaysia menahan sembilan kru kapal termasuk awak-awak berusia 25 tahun hingga 53 tahun bagi membantu siasatan.

    Pengarah Wilayah Selatan Maritim Malaysia, Datuk Abu Bakar Idris, berkata kapal 'barter trade' bernilai lebih RM3 juta itu turut disita dalam rampasan terbesar tahun ini.

    Katanya, satu pasukan khas menjalankan siasatan selama beberapa hari sebaik menerima aduan daripada orang ramai mengenai sebuah kapal `barter trade' yang dikatakan menyeludup masuk rokok dan minuman keras.

    "Hasilnya, kami mengesan sebuah kapal menggunakan bendera dua negara jiran dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri mereka, kira-kira jam 6 petang.

    "Pemeriksaan di atas kapal itu membawa kepada penemuan 916,500 bungkusan rokok putih dan 3,038 botol minuman keras bernilai lebih RM2.5 juta.

    "Apabila disiasat, tekong berkenaan gagal mengemukakan dokumen import yang diperlukan," katanya pada sidang media di Jeti Maritim Malaysia Gelang Patah, hari ini.

    Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai rampasan atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali.

    Abu Bakar berkata, sempena sambutan ulang tahun ke-13 Maritim Malaysia, Khamis ini, pihaknya akan mengadakan Hari Terbuka Maritim Malaysia di jeti itu, 25 Februari ini.

    "Kami akan menganjurkan pelbagai program untuk orang ramai termasuk lawatan ke kapal selam, pameran kerjaya dan pertunjukan pasukan Maritim Malaysia," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Minuman keras, rokok seludup RM2.5j dirampas "