• Melobi Tidak Salah, Pemimpin BN Lebih Tahu Siapa Boleh Bekerja

    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak menanggap individu yang melobi menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai masalah besar.

    Beliau berkata, aktiviti melobi sebagai calon memang menjadi kelaziman setiap kali pilihan raya namun segala keputusan hanya akan ditentukan kepimpinan tertinggi BN samada mengekalkan penyandang atau meletakkan calon baharu.

    "Saya fikir setiap kawasan ada orang minat menjadi ahli parlimen bagi menggantikan penyandang.

    "Ia perkara biasa, sepanjang bertanding pilihan raya hanya tiga hingga empat kali sahaja tiada individu yang melobi selebihnya ada pihak berminat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kecemasan Ahli Parlimen Santubong di sini, hari ini.

    Malah menurutnya, aktiviti melobi di Semenanjung Malaysia lebih hebat berbanding di Sarawak kerana banyak kawasan menjadi tumpuan bukan sahaja milik BN tetapi juga kerusi pembangkang.

    Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, sepanjang menjadi ahli parlimen beliau tidak pernah berjanji perkara yang tidak dapat ditunaikan.

    Tambahnya, setiap keputusan yang dibuat juga tidak boleh bercanggah dengan kepentingan rakyat.

    "Saya tidak pernah memberi keutamaan kepada keluarga atau kroni membabitkan projek. Saya sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat," ujarnya.

    Terdahulu ketika berucap, beliau menjelaskan, usia bukan faktor utama kemampuan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat.

    "Saya pada usia sekarang masih boleh bekerja 12 hingga 14 jam sehari. Kesihatan saya juga berada pada tahap terbaik dan masih mampu menjalankan tugas dengan sebaik mungkin," kata Wan Junaidi.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Melobi Tidak Salah, Pemimpin BN Lebih Tahu Siapa Boleh Bekerja "