• McLaren 'Teropong' Kontrak Hamilton

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+
    LONDON: Pasukan McLaren sedang meneliti kontrak Lewis Hamilton yang juga juara empat kali dengan penuh minat meskipun Mercedes menyatakan pelumba Britain itu tidak akan meninggalkan pasukan musim ini.

    Kontrak Hamilton, 33, berbaki satu musim lagi bersama Mercedes tetapi dia dijangka menandatangani lanjutan kontrak untuk kekal bersama pasukan itu.

    Meskipun ia belum menampakkan sebarang tanda akan berbuat demikian, namun pasukan itu sudah mula memikirkan langkah seterusnya mengenai masa depan bekas pelumbanya itu.

    "Saya tidak fikir tak ada satu pun pasukan yang tak berminat dengan Lewis, termasuk pasukan saya," kata Pengarah Eksekutif McLaren, Zak Brown kepada media semalam.

    "Jika mana-mana pasukan mendapat khidmatnya, mereka sangat beruntung. Dia memiliki sejarah hebat di sini dan dia sangat mesra dengan semua pemegang saham juga," katanya.

    Hamilton memenangi gelaran dunia pertamanya bersama McLaren pada 2008, iaitu setahun selepas melakukan penampilan pertamanya.

    Hamilton kemudian menyertai Mercedes pada 2013 dan meraih tiga gelaran dunia bersama pasukan elit itu.

    November lalu, pelumba paling kaya yang memiliki jet peribadi itu mengakui kontraknya bersama Mercedes akan kekal dan ia senada dengan kenyataan bos pasukan, Toto Wolff.

    "Lewis adalah tulang belakang pasukan ini dan tidak masuk akal jika kita mengambil pelumba lain," kata Wolff.

    Namun Brown merasakan sebarang kelewatan berhubung lanjutan kontrak pelumba itu lebih memberi kesan kepada Hamilton berbanding pasukan.

    "Saya kini cuba meneka berapa lama situasi ini akan berlanjutan. Jika kamu adalah Lewis, anda tentunya memilih untuk kekal kerana pasukan itu ada hala tuju dan keputusan yang bagus," katanya.

    Dalam pada itu, Ferrari memiliki satu kekosongan pelumba apabila juara 2007, Kimi Raikkonen sudah tamat kontrak.

    McLaren adalah pasukan kedua paling berjaya dalam F1 tetapi belum memenangi gelaran sejak 2012 dan hanya menamatkan cabaran di tangga kesembilan daripada 10 pasukan musim lalu selepas mereka berpisah daripada Honda dan menjalin kerjasama dengan Renault.

    Musim ini, McLaren akan kembali memperkemas program untuk kembali menawan podium. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " McLaren 'Teropong' Kontrak Hamilton "