• Maybank Catat Untung Tertinggi RM10.1 Bilion

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank), syarikat perbankan 48 peratus milik Permodalan Nasional Bhd (PNB), mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) tertinggi dalam sejarah berjumlah RM10.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

    Ia meningkat sebanyak RM1.26 bilion atau 14.25 peratus berbanding RM8.84 bilion pada tahun sebelumnya.

    Ini adalah kali pertama keuntungan kasar bank terbesar di Malaysia dan keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu mencecah paras RM10 bilion.

    Bagi keuntungan bersih, Maybank mencatat paras tertinggi baharu sebanyak RM7.52 bilion, naik 11.5 peratus daripada RM6.74 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

    Bagi pendapatan tahun dikaji, bank itu mencatat RM45.58 bilion berbanding RM44.65 bilion pada tahun 2016, naik RM0.93 bilion atau dua peratus.

    Susulan daripada itu, Lembaga Pengarah mencadang untuk memberi dividen satu tingkat akhir sebanyak 32 sen sesaham, yang dibuat di bawah Pelan Pelaburan Semula Dividen.

    Dividen yang dicadangkan akan terdiri daripada 18 sen sesaham yang akan dibayar secara tunai manakala baki 14 sen sesaham diberi pilihan untuk boleh dilaburkan semula ke dalam saham biasa baharu atau dibayar secara tunai.

    Bersama dengan dividen interim 23 sen yang diisytiharkan sebelum ini menjadikan bayaran penuh tahun kewangan sebanyak RM5.9 bilion atau 78.5 peratus daripada keuntungan bersih, dan diterjemahkan kepada pulangan dividen sebanyak 5.6 peratus, mengekalkan status Maybank di kalangan bank yang menawarkan hasil tertinggi dalam rantau ini.

    Mengulas perkembangan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Farid Alias berkata disiplin dalam penetapan harga dan pelaksanaan terancang pelan perniagaan sepanjang tahun membantu Maybank mencapai prestasi rekodnya untuk tahun 2017.

    "Tahun ini juga dilihat sama mencabar seperti tahun lalu memandangkan pasaran tidak menentu yang dapat dilihat pada awal tahun ini.

    "Kami tetap berhati-hati dengan kejutan secara tiba-tiba terhadap persekitaran dan akan mengekalkan pendekatan yang bijak dalam mencapai pertumbuhan dengan memberi tumpuan kepada keuntungan serta pengurusan kos dan kecairan yang berkesan, bukan sekadar mengejar pertumbuhan pinjaman semata-mata.

    "Kumpulan akan terus melihat peluang pertumbuhan di pasaran lain yang kami berkhidmat, seperti dalam pengurusan kekayaan, pembayaran digital, perbankan Islam dan insurans yang kami mahu menerapkan dan mengukuhkan lagi pengurusan pasaran kami," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Abdul Farid berkata, pendapatan operasi bersih kumpulan meningkat kepada RM23.27 bilion, disumbang oleh peningkatan sebanyak 18.7 peratus daripada insurans dan takaful kumpulan, 6.4 peratus daripada perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan dan 1.6 peratus daripada Perbankan Global Kumpulan.

    Katanya, keuntungan operasi pra-peruntukan juga mencecah paras tertinggi baru sebanyak RM11.91 bilion berbanding RM11.69 bilion tahun sebelumnya.

    "Ini disokong oleh kenaikan 10.3 peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM16.63 bilion daripada RM15.07 bilion pada tahun sebelumnya, yang lebih daripada mengimbangi penurunan pendapatan berasaskan fi bersih sebanyak 6.5 peratus hasil daripada keuntungan pertukaran asing yang lebih rendah serta pendapatan pelaburan dan perdagangan.

    "Operasi kumpulan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan pinjaman sebanyak lima peratus untuk tahun kewangan dikaji, melebihi pertumbuhan industri domestik, sementara operasi Singapura dan Indonesia merekodkan peningkatan masing-masing sebanyak 4.3 peratus dan 3.6 peratus," katanya.

    Bagi suku keempat tahun lalu, PBT Maybank meningkat 1.8 peratus lebih tinggi kepada RM2.93 bilion daripada RM2.87 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

    Sementara itu, keuntungan bersih berjumlah RM2.13 bilion berbanding dengan keuntungan bersih dinormalisasikan sebanyak RM1.74 bilion pada suku sama tahun 2016. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Maybank Catat Untung Tertinggi RM10.1 Bilion "