• Mayat Wanita Ditemui Tertiarap

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+
    KAJANG: Misteri seorang wanita yang tidak mendaftar keluar membawa kepada penemuan mayatnya di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Kasturi 3, Balakong, di sini, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada kepala oleh anggota polis yang memecah masuk bilik berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pekerja hotel itu kira-kira jam 2 petang untuk membuka pintu bilik di tingkat dua selepas mangsa dikatakan tidak mendaftar keluar jam 12 tengah hari.

    "Sebaik pintu bilik dibuka, kami menemui mayat wanita itu yang lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap di atas katil.

    "Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan tetakan pada belakang kepala mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Ahmad Dzaffir berkata, rekod mendapati seorang wanita mendaftar masuk ke hotel berkenaan, Ahad lalu.

    "Kami sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan suspek untuk mengetahui motif sebenar kejadian.

    "Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mayat Wanita Ditemui Tertiarap "