• Mayat Disangka Patung

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+

    KAJANG: Seorang kontraktor terkejut apabila objek disangkakan patung berhampiran bangunan terbengkalai di Sungai Jernih, di sini, adalah mayat seorang wanita yang terbakar.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam itu, mayat wanita tanpa identiti terbabit ditemui dalam keadaan terbakar tubuhnya 40 peratus.

    Menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 40-an, beliau sedang mencari zink buruk sebelum menemui objek yang disangkanya patung berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) itu.

    "Pada mulanya, saya nampak objek itu macam patung menyebabkan saya menghampirinya. Saya terkejut apabila mendapati ia bukanlah patung, sebaliknya mayat wanita separuh bogel yang terbakar.

    "Mayat berkenaan tidak terbakar sepenuhnya, namun terdapat kesan terbakar teruk dari aras kepala hingga ke bahu," katanya.

    Sementara itu, sumber polis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 10.25 pagi berhubung kejadian itu.

    "Pemeriksaan awal di lokasi kejadian menemui satu botol plastik dipercayai mengandungi minyak selain cebisan pakaian terbakar di tingkat 15 bangunan terbengkalai itu.

    "Kami turut menemui pisau dan pemetik api berhampiran mayat wanita berkenaan," katanya.

    Menurutnya, pemeriksaan terhadap mayat itu tidak menemui dokumen pengenalan diri dan sebarang kesan kecederaan di seluruh badannya.

    "Berdasarkan keterangan daripada penduduk di kawasan itu, mereka ada melihat percikan api dari bangunan itu kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin).

    "Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 15 bangunan berkenaan selepas membakar diri," kata sumber.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata bangsa atau identiti mangsa tidak dapat dipastikan memandangkan mayatnya yang 40 peratus terbakar.

    "Pemeriksaan di dalam bangunan (tingkat 15) menemui satu botol cecair 'thinner' selain ada kesan terbakar di tingkat berkenaan.

    "Pemeriksaan awal pihak forensik mendapati mangsa dipercayai membunuh diri kerana tiada kesan pergelutan ditemui," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

    Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mayat Disangka Patung "