• Mayat Disangka Patung

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Sunday, 4 February 2018
    A- A+

    Kontraktor terkejut apabila objek ditemuinya yang disangkakan patung di kawasan bangunan terbengkalai berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Jernih, Kajang, adalah mayat seorang wanita.

    Dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam itu, mayat wanita yang tidak diketahui identiti berkenaan ditemui dalam keadaan terbakar 40 peratus.

    Menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 40-an, ketika kejadian, dia sedang mencari zink sebelum menemui objek yang disangka patung.

    Katanya, dia menghampiri objek berkenaan sebelum menyedari ia adalah mayat seorang wanita yang terbakar sebelum menghubungi pihak polis.

    "Pada mulanya, saya nampak objek itu macam patung menyebabkan saya menghampirinya. Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati ia bukanlah patung sebaliknya mayat wanita yang terbakar.

    "Mayat berkenaan tidak terbakar sepenuhnya, namun terdapat kesan terbakar teruk dari aras kepala hingga ke bahu," katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam 10.25 pagi berhubung kejadian itu.

    "Pemeriksaan awal di lokasi kejadian menemui satu botol plastik dipercayai mengandungi minyak tanah dan kesan dan cebisan pakaian yang terbakar pada hujung tingkat 15 bangunan terbengkalai itu.

    "Kami turut menemui pisau dan pemetik api berhampiran mayat wanita berkenaan," katanya.

    Ahmad Dzaffir berkata, pemeriksaan terhadap mayat itu tidak menemui dokumen pengenalan diri dan sebarang kesan kecederaan di seluruh badannya.

    "Berdasarkan keterangan daripada penduduk di kawasan terbabit, mereka ada melihat percikan api dari bangunan terbabit kira-kira 6 petang semalam.

    "Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 15 bangunan berkenaan selepas membakar diri," katanya.

    Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat.

    "Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Mayat Disangka Patung "