• Mata Budak Berjasa Selepas Meninggal Dunia

    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+

    Beijing: Meskipun selepas mati, kanak-kanak lelaki berusia dua tahun masih berjasa kepada dua individu apabila ibu bapanya memutuskan mendermakan kornea anak mereka yang maut akibat kemalangan jalan raya itu.

    Menurut laporan Chengdu Economic Daily, kanak-kanak itu, Liu Ying, meninggal dunia Selasa lalu di Suining, wilayah Sichuan, 20 bulan selepas menderita kerosakan otak dan kecederaan serius lain akibat kemalangan motosikal.

    Liu membonceng motosikal bersama ibu dan bapanya apabila mereka dilanggar sebuah lori. Doktor juga terpaksa memotong kaki kirinya.

    Selepas pembedahan terbaru yang mengambil masa sehari pada 1 Februari lalu, pakar bedah memaklumkan ibu bapa Liu bahawa anak mereka mungkin tidak dapat bertahan.

    “Sekurang-kurangnya penerima kornea itu boleh menikmati hidup dengan melihat dunia menerusi mata anak kami,” kata ibu Liu.

    Pakar bedah dan jururawat bertugas sebak dengan pengorbanan ibu bapa kanak-kanak itu serta memberi penghormatan kepada Liu sebelum memulakan pembedahan mengeluarkan korneanya untuk dipindahkan kepada dua pesakit.

    Pakar mata di hospital tempat Liu dirawat, Li Heng berkata: “Pembedahan memindahkan kornea itu berjaya. Penerima kini semakin pulih daripada pembedahan.”

    Ibu bapa Liu yang identitinya tidak dikenali menderita separuh lumpuh akibat kemalangan itu, memaksa mereka berhenti kerja dan meminjam 1,000 yuan (RM629) daripada rakan untuk membayar kos hospital.

    Kakitangan hospital yang bersimpati dengan nasib pasangan itu mengumpul dana lebih 30,000 yuan (RM19,000) untuk didermakan kepada mereka.

    “Belas kasihan dan kejujuran yang ditunjukkan pasangan itu membuatkan kami terharu,” kata pengarah pusat pediatrik hospital berkenaan. - Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Mata Budak Berjasa Selepas Meninggal Dunia "