• Maskot Babi Simbol Penyatuan Dayak – PBDSB

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Maskot Babi bukanlah suatu isu yang menjadi masalah bagi masyarakat Dayak di Sarawak, malah ianya dianggap sebagai simbol penyatuan kaum tersebut.

    Menjawab kritikan ramai pihak terhadap isu berkenaan, Ketua Penerangan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) Bobby William yang dipetik Bernama berkata, maskot parti itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menonjolkan gambar babi sebenarnya membawa erti dan impak mendalam dari segi adat resam masyarakat Dayak.

    Katanya, beliau sedih kerana ada sesetengah pihak menganggap gambar babi menyinggung sensitiviti kaum lain.

    "Babi adalah lambang penyatuan pelbagai suku etnik Dayak di negeri Sarawak," katanya mengimbau kembali Perdamaian Kapit, yang merujuk kepada upacara "besapu mua, bepalit mata" di Kubu Sylvia semasa Perdamaian Kapit pada tahun 1924 yang menjadi sejarah penyatuan masyarakat Dayak di negeri ini dan menandakan berakhirnya tradisi ‘ngayau " (penggal kepala).

    "Kita harus ingat jasa Temenggong Koh Anak Jubang dan yang lain dalam menyatukan masyarakat Dayak," beliau dipetik sebagai berkata.

    Bobby berharap semua pihak menghormati dan memahami adat resam kaum Dayak dan menerima baik gambar babi dalam maskot parti itu.

    Beliau yang mempertahankan keputusan partinya menggunakan Babi sebagai maskot menjelaskan, dalam kepercayaan masyarakat Dayak, babi adalah "perantaraan" dengan Petara (Pencipta). 

    "Antaranyanya adalah upacara "Nenong Ati Babi", "Mandi Darah Babi", "Niki ka Bangkai" dan pelbagai adat resam dan pantang larang," katanya. – Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Maskot Babi Simbol Penyatuan Dayak – PBDSB "