• Masih Trauma Hampir Disembelih Pengganas

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+


    LAHAD DATU: Ditampar di kiri dan kanan muka, malah hampir disembelih oleh anak kepada ketua pengganas Kiram, Jeneral Musa Abdullah yang meletakkan parang dikenali sebagai barong (parang sulu) ke leher.

    Itulah antara situasi tidak akan dilupakan penduduk Kampung Tanjung Batu, Ajmain Mahmud, 39, sehingga menyebabkan dia trauma selama setahun.

    Bukan sahaja rumahnya rosak dan harta benda miliknya hilang akibat pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo yang melarat hingga ke kawasan penempatan mereka di Kampung Tanjung Batu.

    Serangan pengganas dalam kalangan pengikut Jamalul Kiram III dari selatan Filipina itu juga menyebabkan rumah bapanya yang juga Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang, antara yang terawal musnah akibat dibakar.

    Penduduk berpindah ke Dewan Fajar Harapan

    Menceritakan kembali peristiwa itu, Ajmain berkata, ketika tercetusnya perang pada 1 Mac 2013 di Kampung Tanduo, isteri dan anak perempuannya berusia empat tahun bersama puluhan penduduk kampung berpindah ke Dewan Fajar Harapan.

    "Saya dan empat ahli keluarga semuanya lelaki tinggal di rumah kerana bimbang rumah dimasuki pencuri, jika pengganas datang, dengan kudrat yang ada, kami sempat untuk melarikan diri.

    Pada pagi 6 Mac 2013, tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki lengkap bersenjata di hadapan rumah. Saya tidak dapat berbuat apa-apa.

    "Lalu seorang daripada kumpulan itu, saya percaya ketua mereka iaitu Jeneral Musa mengarahkan saya datang ke arahnya. Disebabkan bimbang diapa-apakan, saya hanya menuruti kata-katanya.

    "Tetapi tiba-tiba sahaja seorang daripada anggota kumpulan itu menampar saya dua kali. Selepas itu, lelaki terbabit mengacukan barong ke leher saya untuk sembelih hidup-hidup.

    "Kalau saja barong itu ditarik, saya sudah arwah masa itu. Pada masa itu juga, saya hanya memikirkan isteri dan anak sulung, Ainazerah yang kini berusia sembilan tahun," katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

    Bertugas sebagai anggota RELA

    Dia yang kini bertugas sebagai anggota RELA berkata, anak jeneral Musa itu mendakwa, kononnya dia yang membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan kehadiran mereka di Kampung Tanduo.

    "Mereka (pengganas Kiram) mendakwa saya yang melaporkan kehadiran pengganas di Kampung Tanduo. Namun saya menafikan perkara itu, sebelum anak Jeneral Musa mengalihkan barong berkenaan.

    "Selepas itu, saya bersama puluhan penduduk ditawan sebelum kami dibawa ke sebuah rumah yang terletak hampir 500 meter dari rumah saya.

    "Saya bersama seorang rakan kemudian diarah membeli makanan kerana kononnya mereka beberapa hari tidak menjamah nasi. Seorang daripada kumpulan pengganas menghulurkan RM400 untuk membeli beras," katanya.

    Ajmain berkata, dia bersama seorang lagi rakannya dikenali sebagai Rudy kemudian keluar dari kampung itu sebelum dia melarikan diri ke Dewan Fajar Harapan Felda Sahabat (tempat perlindungan penduduk) manakala Rudy lari ke pos Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian.

    "Selepas itu, pasukan keselamatan membawa saya ke FELDA Sahabat 16 untuk diambil keterangan," katanya.

    Menyambung cerita, Ajmain berkata, walaupun insiden itu sudah lima tahun berlalu, ia tetap segar dalam ingatan sampai bila-bila.

    "Detik leher hampir disembelih dan muka ditampar antara yang tidak akan dilupakan.

    "Namun kini, Alhamdulillah keadaan kampung kembali seperti sedia kala, malah tahap keselamatan dipertingkatkan dengan adanya pos kawalan oleh pasukan keselamatan," katanya.

    'Puteri Daulat' lahir hari pertempuran

    Nama Farhana Rashidi mungkin tidak dikenali ramai dalam kalangan kira-kira 31 juta penduduk negara ini.

    Dilahirkan pada 1 Mac 2013, Farhana pernah digelar 'Puteri Tanduo' kerana pada hari yang sama, tercetus pertempuran antara pasukan keselamatan dan pengganas Sulu pimpinan Agbimuddin Kiram.

    Dilahirkan di Hospital Lahad Datu, kanak-kanak itu turut digelar 'Puteri Daulat' oleh penduduk tempatan, susulan Ops Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac 2013 di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu bagi memerangi pengganas Sulu.

    Ketika ditemui wartawan NSTP, Junaidi Ladjana, dan jurugambar Khairull Azry Bidin di rumahnya di Tanjung Batu, di sini, baru-baru ini, bapa Farhana, Rashidi Inou, 46, menceritakan semula bagaimana anak bongsu dua beradik itu mendapat gelaran sedemikian.

    Nama manja 'baby'

    Rashidi berkata, Farhana atau nama manjanya Baby dilahirkan secara normal di Hospital Lahad Datu kira-kira jam 3 pagi pada 1 Mac 2013 dengan berat hampir tiga kilogram.

    Pada jam 10 pagi hari sama, beliau mendapat perkhabaran dua perwira negara iaitu Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabaruddin Daud, 46, dari unit khas VAT69 gugur ditembak pengganas Kiram di Kampung Tanduo.

    "Saya dan isteri membawa Farhana pulang ke rumah di Tanjung Batu pada hari yang sama, walaupun dimaklumkan mengenai pertempuran itu kerana saya mahu menyelamatkan harta benda," katanya.

    Walaupun pengganas sudah dikepung oleh pasukan keselamatan, beliau membuat keputusan melarikan diri pada 5 Mac kerana bimbangkan keselamatan isteri dan dua anak mereka.

    Mencari perlindungan

    "Dalam keadaan isteri masih lemah selepas bersalin dan berpantang, kami berjalan ke pusat penempatan di Dewan Cenderawasih dalam kegelapan malam untuk mencari perlindungan.

    "Sebaik tiba di pusat penempatan dengan membawa bayi yang baru berusia beberapa hari, ada penduduk menyarankan Farhana digelar Puteri Daulat dan sehingga kini gelaran itu kekal dengan anak saya," katanya.

    Sehingga kini, Farhana belum mengetahui peristiwa di sebalik gelaran diberi oleh penduduk kampung kepadanya.

    Rashidi berkata, kisah sejarah nama Puteri Daulat akan diceritakan kepada anaknya itu apabila tiba masa sesuai berbuat demikian.

    "Dia masih kanak-kanak, belum faham. Tiba masanya nanti, saya beritahu. Saya tak kisah mereka menggelarnya Puteri Daulat, kami sekeluarga memanggilnya Baby," katanya.

    Beliau turut berkongsi cerita Farhana yang minat menyanyi dan antara lagu yang kerap dinyanyikan ialah Aurora dendangan kumpulan Estranged.

    "Dia minat menyanyi, mungkin kerana darah seni yang mengalir dalam jiwa saya," katanya yang mempunyai band sendiri dan sering bermain muzik di majlis kahwin dan busking.

    Kronologi

    Pencerobohan pengganas Sulu

    Februari 2013 Pengganas mendarat di Kampung Tanduo

    12 Februari 2013 Laporan polis mengenai kehadiran pengganas difailkan di Balai Polis Cenderawasih, FELDA Sahabat

    12 - 28 Februari 2013 Ops Sulu dilancarkan, rundingan polis dan kumpulan pengganas gagal

    1 Mac 2013 Pertempuran tercetus antara polis dan pengganas di Kampung Tanduo mengorbankan dua anggota Komando 69 dan 12 pengganas

    2 Mac 2013 Enam anggota polis terkorban diserang hendap pengganas ketika menjalankan pemeriksaan di Kampung Simunul, Semporna

    2 - 4 Mac 2013 Penduduk Zon Labian: Tanduo , Sungai Nyamuk, Sungai Merah, Tanjung Batu, Tanjung Batu, Tanagian dipindahkan ke penempatan sementara di FELDA Sahabat, Lahad Datu

    5 Mac 2013 Ops Daulat dilancarkan, tentera melaksanakan serangan udara ke atas kubu pengganas di Tanduo disusuli operasi darat

    5 Mac - 1 April 2013 Operasi penggeledahan dan pembersihan di Zon Labian dilaksanakan - 65 pengganas ditembak mati, 100 ditangkap

    30 Jun 2013 Ops Daulat ditukar kepada Ops Sanggah

    26 Julai 2016 9 anggota pengganas dihukum penjara sepanjang hayat, 8 termasuk 3 rakyat tempatan dipenjara antara 10 tahun hingga 15 tahun

    15 Januari 2018 9 anggota pengganas yang didapati bersalah dalam tragedi pencerobohan di Lahad Datu lima tahun lalu, kekal ke tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk diringankan hukuman.

    - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Masih Trauma Hampir Disembelih Pengganas "