• Masih Banyak Kawasan Di Sarawak Terdedah Hakisan Pantai

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar melahirkan kebimbangan masih banyak kawasan pantai di Sarawak terdedah dengan hakisan pantai.

    Beliau berkata, kajian terperinci perlu dijalankan di seluruh kawasan pantai negeri ini bagi memastikan masalah hakisan dapat diatasi.

    Menurutnya, selagi masih bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, beliau berjanji akan terus membantu Sarawak mengatasi masalah tersebut.

    "Kita bimbang masih banyak kawasan pantai negeri ini mengalami hakisan. Justeru, kajian terperinci perlu dijalankan untuk mengatasi masalah tersebut," katanya ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kecemasan Ahli Parlimen Santubong di sini hari ini.

    Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM200 juta yang dibahagikan kepada lima bahagian di Semenanjung bagi mengatasi masalah tersebut.

    Prihatin dengan nasib penduduk di Sarawak, beliau memohon supaya peruntukan sama diagihkan kepada Sarawak.

    "Kita boleh selamatkan banyak kampung selagi saya masih bersama kementerian ini," ujarnya.

    Pada majlis tersebut, seramai 31 orang menerima sumbangan kecemasan (bantuan pendidikan keluarga miskin), 12 orang menerima sumbangan kecemasan (pesakit kronik), 10 orang menerima sumbangan dermasiswa Bakti dan seorang menerima sumbangan Bakti (kebakaran).-Sarawakiana
  • No Comment to " Masih Banyak Kawasan Di Sarawak Terdedah Hakisan Pantai "