• Marahkan Isteri, Rumah Mentua Dibakar

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 26 February 2018
    A- A+

    Berang selepas isterinya enggan pulang ke rumah, lelaki membakar rumah bapa mentuanya dengan membaling botol berisi petrol dalam kejadian di Kampung Melikai, Menumbok, Beaufort, kelmarin.

    Dalam kejadian 10.05 malam itu, kebakaran hanya membabitkan pintu rumah dan kerusi manakala lapan penghuni termasuk isteri dan dua anak suspek tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh pengadu iaitu isteri suspek selepas kebakaran itu disebabkan dibaling dengan dua botol berisi petrol.

    Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian berlaku, terdapat lapan penghuni di rumah berkenaan termasuk empat kanak-kanak, dua orang dewasa dan dua warga emas.

    "Ketika pengadu (isteri suspek) menonton televisyen bersama kakaknya di rumah bapa mereka, tiba-tiba terdengar pintu dibaling sebelum api marak menyebabkan mereka menjerit dan berlari keluar untuk memadam kebakaran.

    "Tiada sebarang kecederaan berlaku ke atas semua penghuni di rumah itu dan api berjaya dipadam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui dua botol yang masih berisi petrol.

    "Hasil soal siasat ke atas saksi mengatakan melihat seorang lelaki yang dikenali datang ke rumah pengadu 9.50 malam dalam keadaan mencurigakan. Lelaki itu adalah suami kepada pengadu.

    "Siasatan lanjut mendedahkan pengadu dan suaminya mempunyai masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian.

    "Suspek sebelum ini pernah memukul isteri dan mengugut untuk mati bersama jika tidak mahu pulang bersama suspek," katanya.

    Azmir berkata, suspek berusia 34 tahun sudah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Marahkan Isteri, Rumah Mentua Dibakar "