• #MalaysiaMemilih: Sejauh Mana Pengaruh Pengundi Muda?

    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pengundi muda dijangka akan menjadi kelompok harapan atau "the hopeful voters" yang bakal menjadi penentu dan pencorak keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

    Ini sekali gus menggugah hasil kajian sebelum ini yang menyatakan bahawa pengundi Malaysia hanya terbahagi kepada dua kelompok iaitu 'materialis' dan 'pasca materialis'.

    Pengundi muda untuk PRU14 dijangka boleh menjadi individu yang mewakili kedua-dua kelompok di atas bedasarkan kepada faktor pendidikan mereka.

    "Pengundi muda berdiri di atas landasan yang saya gelar sebagai the hopeful group. Rata-rata mungkin berpendapatan kurang daripada RM4,000 namun pendidikan tinggi yang diterima menyebabkan mereka cenderung kepada sesuatu yang lebih abstrak.

    "Mereka adalah kelompok yang berharap sesuatu yang idealistik seperti kemakmuran negara dan ekonomi negara yang lebih baik," jelas Prof Datuk Seri Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang ditemui ketika sesi persidangan Meja Bulat Pra-PRU14 bertajuk 'BN, PH dan PAS: Siapa atasi Siapa' di sini, pada Khamis.

    Sesi persidangan itu disertai ahli akademik daripada Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, yang mengupas isu-isu penting menjelang PRU14.

    Kelompok pengundi materialis terdiri daripada individu berpendapatan tidak lebih RM4,000 yang dilihat lebih cenderung kepada isu kos sara diri dan kadar pengangguran.

    Kelompok pasca materialis yang berpendapatan tinggi pula dilihat mengabaikan faktor ekonomi dan memilih untuk menyuarakan isu yang abstrak seperti hak asasi manusia dan kebebasan media.

    Sementara itu, Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, Barisan Nasional (BN) dijangka tidak menghadapi masalah mendapat majoriti mudah pada PRU14 berdasarkan rekod cemerlang gabungan 13 parti komponen itu dalam menyantuni aspirasi rakyat.

    Menurut Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dalam suhu politik sekarang ini, tidak mustahil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mampu membawa kemenangan dua pertiga kepada BN.

    "Sekarang ini BN berada pada kedudukan terbaik untuk menang PRU14 berikutan faktor seperti perpaduan yang makin ampuh dalam parti tonggaknya, UMNO, serta penolakan rakyat terhadap pembangkang terutama kepada calon perdana menteri pembangkang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya selepas membentangkan kertas kerja pada satu lagi sesi persidangan bertajuk 'BN Kekal Atau...?'. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " #MalaysiaMemilih: Sejauh Mana Pengaruh Pengundi Muda? "