• Malaysia Rekod Jumlah Dagangan Tertinggi 13 tahun

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan perdagangan berjumlah RM1.774 trilion tahun lalu, meningkat 19.4 peratus berbanding RM1.486 trilion pada 2016.

    Ia pertumbuhan tertinggi yang direkodkan dalam tempoh 13 tahun.

    Eksport negara pada tahun lalu juga meningkat 18.9 peratus kepada RM935.39 bilion, berbanding RM785.93 bilion 2016, pertumbuhan terpantas sejak 2005.

    Import turut merekodkan nilai tertinggi sebanyak RM838.14 bilion, meningkat 19.9 peratus berbanding tahun 2016.

    Berikutan itu, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM97.25 bilion pada tahun dikaji, tertinggi dicatatkan sejak 2012 dan juga lebihan dagangan tahun ke-20 berturut-turut sejak 1998.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pertumbuhan memberangsangkan itu disumbangkan oleh perdagangan lebih tinggi dengan ASEAN, yang berkembang 21 peratus atau RM84.49 bilion.

    Selain itu katanya, perdagangan dengan China meningkat 20.6 peratus atau RM49.68 bilion yang turut kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia bagi sembilan tahun berturut-turut.

    "Prestasi eksport negara tahun lalu adalah memberangsangkan apabila mencatat pertumbuhan dua angka tahun ke tahun pada setiap bulan kecuali Jun dan Disember.

    "Eksport bagi semua sektor juga merekodkan pertumbuhan dua angka dengan sektor perkilangan mendominasi jumlah eksport berjumlah RM767.64 bilion atau 82.1 peratus daripada keseluruhan eksport," katanya ketika membentangkan prestasi dagangan Malaysia di sini, sebentar tadi.

    Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

    Mengenai unjuran perdagangan negara pada tahun ini, Mustapa berkata, pihaknya mengunjurkan pertumbuhan sebanyak lima peratus.

    Katanya, pihaknya juga mengunjurkan pertumbuhan sama untuk eksport dan import untuk tahun ini. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Rekod Jumlah Dagangan Tertinggi 13 tahun "