• Malaysia Ikrar Sumbangan AS$100,000 Untuk Iraq

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+


    KUWAIT CITY - TIMUR TENGAH. Malaysia berjanji akan menyumbang sejumlah US$100,000 untuk pembangunan semula Iraq, menurut satu kenyataan Kementerian Luar.

    “Selama bertahun-tahun, rakyat Iraq telah mengalami pelbagai dugaan dan siksaan yang dahsyat selain berdepan kesulitan kerana pertempuran dengan kumpulan militan Daesh telah menghancurkan negara itu.

    “Malaysia menyedari cabaran kompleks yang dihadapi oleh kerajaan Iraq. Keperluan mereka mungkin lebih kritikal daripada apa yang kita sangkakan. Justeru, adalah penting bagi kita dan komuniti antarabangsa untuk menggerak, mempercepat dan mempromosi satu pendekatan yang inklusif dalam pembinaan semula Iraq.”

    Kenyataan itu dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Kennedy Jawan, semasa Mesyuarat Peringkat Menteri di Persidangan Antarabangsa Kuwait Untuk Pembangunan Semula Iraq (KICRI) pada Rabu.

    “Kami yakin persidangan ini akan membuahkan hasil yang positif bagi membantu kerajaan Iraq memulih serta membina semula negara itu dan bakal memberikan manfaat ketara dalam kehidupan harian rakyatnya.”

    Kenyataan itu juga menyebut dunia kini berdepan cabaran baharu untuk membina dan membangunkan semula Iraq selain mencapai kestabilan dan keselamatan.

    “Perlu ditekankan bahawa meskipun pembinaan semula infrastruktur fizikal adalah suatu keutamaan, penambahbaikan kesejahteraan, penyediaan peluang pekerjaan dan peningkatan pembangunan keupayaan rakyat Iraq juga sama pentingnya.

    “Oleh itu, semua pihak di Iraq perlu terus bekerjasama ke arah perdamaian negara kerana ini adalah kunci untuk mencapai keseimbangan antara kestabilan dan pelan pembangunan serta pembinaan semula Iraq,” menurut kenyataan itu. - Bernama

    Subjects:

    Luar Negara
  • No Comment to " Malaysia Ikrar Sumbangan AS$100,000 Untuk Iraq "