• Malaysia Akan Bantu Firma Keselamatan Pertingkat R&D

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia komited untuk membantu firma keselamatan tempatan dalam program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) mereka bagi menghasilkan produk keselamatan yang kompetitif di peringkat antarabangsa.

    Untuk mencapai visi itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berharap kementerian berkaitan dapat membiayai inisiatif itu.

    Beliau berkata Malaysia sedang berubah daripada menjadi pengguna kepada pemain industri yang aktif dalam mereka cipta dan mengeluarkan produk keselamatan terkini.

    Sehubungan itu, beliau berkata menerusi pembiayaan, negara tidak lama lagi akan mampu mempunyai firma keselamatan sendiri yang dikenali di peringkat antarabangsa.

    “Saya berharap menteri pertahanan dan ketua setiausahanya bersama-sama ketua setiausaha kementerian saya… dan Kementerian Kewangan untuk membiayai sepenuhnya aktiviti R&D berkaitan pertahanan dan keselamatan,” katanya dalam ucapan pada prapelancaran Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) Ke-16 dan Pameran Antarabangsa bagi Keselamatan Negara di Asia 2018 (NATSEC), di sini, hari ini.

    Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Penglima Tentera Udara Diraja Malaysia Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

    Berhubung NATSEC yang julung kalinya diadakan bersama-sama DSA dari 16 hingga 9 April di sini, Ahmad Zahid berkata pameran itu akan melengkapi DSA dengan menumpukan pada sektor dan bidang keselamatan negara termasuk ketenteraman awam, kawalan dan menangani keganasan.

    “Ini menjadikan ia acara penting di rantau ini dan mewujudkan platform rangkaian yang baik bagi sinergi perniagaan dan kerjasama kerajaan,” katanya.

    Kedua-dua acara itu yang beliau sifatkan sebagai pameran pertahanan dan keselamatan terbesar pada tahun ini, dijangka menarik lebih 1,500 pempamer, 350 perwakilan asing daripada 45 negara dan kira-kira 42,000 pengunjung perdagangan daripada 70 negara.

    Timbalan perdana menteri berkata teknologi keselamatan yang baharu memainkan peranan amat penting dalam mendepani cabaran keselamatan semasa dan sekiranya digunakan secara bertanggungjawab ia akan dapat menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih selamat dan aman.

    Justeru, katanya pameran dan persidangan keselamatan merupakan platform terbaik untuk mempromosikan interaksi pasaran dan mendorong komitmen lebih besar sekali gus akan memberi manfaat kepada pihak yang membekalkan dan memerlukan teknologi keselamatan.

    “Malaysia komited untuk menyaksikan pembangunan NATSEC Asia dalam menyediakan bukan sahaja penyelesaian pemasaran kepada pengguna teknologi keselamatan tetapi juga penyelesaian intelektual kepada pembuat dasar, katanya.

    Ahmad Zahid juga menzahirkan harapan NATSEC Asia 2018 akan memberikan impak tambahan terhadap ekonomi Malaysia. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Akan Bantu Firma Keselamatan Pertingkat R&D "