• 'Mak, jika saya tiada lagi, tolong doakan saya'

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+


    BINTULU: Memohon didoakan jika dirinya sudah tiada, menjadi permintaan terakhir konduktor feri, Salman Hassan, 44 ketika hendak memulakan tugasnya, kelmarin sebelum dia terjatuh dan dihanyutkan arus deras Sungai Kemena, di sini.

    Ibunya, Semara Seman, 62, berkata beliau menganggap pesanan berkenaan hanya satu gurauan kerana anak lelakinya itu cukup gemar berseloroh.

    "Dia ada cakap ' mak, kalau saya tiada lagi, tolong doakan saya'.

    "Itulah pesanannya sebelum turun kerja tempoh hari. Itulah caranya memohon restu saya, meminta saya agar sentiasa mendoakan keselamatannya.

    "Tidak sangka itulah pesanan terakhirnya sebelum menerima berita dia terjatuh dari feri dikendalikannya lalu dihanyutkan arus deras Sungai Kemena," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

    Semara berkata, beliau sempat bertanya kepada anak sulungnya itu mengapa pesanannya kali ini kedengaran agak pelik.

    "Dia dengan bersahaja menyatakan kita perlu sentiasa mengingati kematian. Kita tidak tahu bila kita akan pergi menghadapNya," katanya.

    Beliau yang turut meninjau hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) konduktor feri itu hari ini ternyata tida dapat menahan sebak kerana Salman adalah anak sulung dan juga tonggak keluarga.

    Bagaimanapun, jelasnya, beliau sekeluarga berharap agar mangsa masih hidup dan berada dalam keadaan selamat.

    "Jika Allah mahu mengambilnya, biarlah jasadnya ditemui dan disempurnakan. Ini semua ketentuan Tuhan, kami reda. Selagi Salman belum ditemui, kami sekeluarga tidak akan berhenti mencarinya dengan apa cara sekalipun," katanya.

    Bapa mangsa, Hassan Mohd, 69, menyifatkan anak sulungnya itu sebagai seorang bertanggungjawab dan cukup menyayangi keluarga.

    "Salman anak yang baik, amat mengambil berat keperluan keluarga dan sentiasa melakukan yang terbaik bagi memastikan keselesaan hidup keluarga," katanya

    Difahamkan, ahli keluarga bersama penduduk Kampung Hilir Sebauh turut mengadakan solat hajat malam tadi bagi memudahkan urusan pencarian mangsa di Sungai Kemena.

    Operasi SAR hari ini turut disertai bomba, polis marin dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertumpu di kawasan 30 ke 40 meter ke hilir Sungai Kemena, lokasi mangsa terjatuh ketika mahu mengikat tali sauh feri kendaliannya, Selasa lalu.-BHOnline
  • No Comment to " 'Mak, jika saya tiada lagi, tolong doakan saya' "