• Majlis Diraja Johor: Hentikan jualan tanda kemuliaan, kebesaran

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+
    JOHOR BAHRU: Jumaah Majlis Diraja Johor meminta pihak tidak bertanggungjawab menghentikan perbuatan menjual tanda kemuliaan dan kebesaran Johor melalui laman media sosial.

    Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli hari ini berkata pihaknya menerima maklumat terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan penjualan tanda kemuliaan dan kebesaran Johor antaranya Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dan Pingat Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor di laman media sosial.

    “Jumaah memandang berat perkara ini. Tanda kemuliaan dan kebesaran Johor adalah kurniaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dengan pendapat baginda atas jasa, kesetiaan tidak berbelah bahagi dan perkhidmatan cemerlang mereka kepada raja, negeri dan rakyat.

    “Tanda kemuliaan itu tidak sepatutnya diniagakan atau disalahguna untuk tujuan keuntungan,” katanya dalam kenyataan di sini.

    Abdul Rahim berkata Jumaah Majlis Diraja Johor mengingatkan orang ramai, kerajaan negeri Johor memperundangkan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 berkuat kuasa 13 Mac 2017.

    Beliau berkata Fasal 3 enakmen itu memperuntukkan mana-mana orang menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah Sultan Johor bagi maksud perdagangan, perniagaan atau apa-apa tujuan sosial atau persendirian tanpa kebenaran bertulis daripada Raja, adalah satu kesalahan.

    Katanya, apabila disabitkan kesalahan, pihak tidak bertanggungjawab boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak kurang setahun dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Majlis Diraja Johor: Hentikan jualan tanda kemuliaan, kebesaran "