• Mahkamah Arah Lelaki Tidak 'Bermain' Facebook

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+
    KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, mengarahkan seorang lelaki berusia 27 tahun supaya tidak 'bermain' Facebook sehingga perbicaraan kes pertuduhan terhadapnya yang didakwa memulakan penghantaran komunikasi jelik menggunakan laman sosial terbabit, selesai.

    Tertuduh, Seevashankar Vikneswaran yang mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan ke atasnya dibaca dihadapkan Hakim Ainul Shahrin Mohamad, turut diarahkan supaya melaporkan diri di Balai Polis Bandar Tambun, Ipoh di Perak, setiap bulan.

    Ainul Shahrin juga mengarahkan tertuduh tidak dibenarkan keluar dari daerah Tambun kecuali dengan izin Ketua Polis Balai Bandar Tambun sehingga tarikh perbicaraan ditetapkan pada 1 Ogos depan.

    "Kamu (tertuduh) tidak dibenarkan untuk 'bermain' Facebook sehingga kes ini selesai," katanya ketika prosiding, hari ini.

    Seevashankar dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Tertuduh memuatnaik kenyataan "Eternal Love..11 years & counting! bersama gambar yang dipercayai bekas teman wanitanya pada jam 11.53 pagi, 16 Ogos 2017 di Jalan Bandar Baru Tambun, Bandar Baru Tambun, Ipoh.

    Kenyataan yang dimuatnaik itu disedari wanita terbabit ketika bekerja di bandar raya ini sebelum membuat laporan polis di Kota Kinabalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zahidah Abdullah.

    Mahkamah Sesyen melepaskan tertuduh dengan ikat jamin RM5,000 bersama seorang penjamin tempatan, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 26 Mac depan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mahkamah Arah Lelaki Tidak 'Bermain' Facebook "